Permohonan Thomas batalkan saman Najib diputuskan 25 Nov
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan pada 25 Nov depan berhubung permohonan bekas peguam negara, Tommy Thomas untuk membatalkan saman sivil yang difailkan oleh bekas perdana menteri, Najib Razak.
Hakim Ahmad Bache menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah lisan daripada kedua-dua pihak sama ada saman itu patut dibatalkan tanpa melalui perbicaraan penuh.
Hakim telah mendengar hujah lisan daripada peguam Alan Gomez yang mewakili Thomas dan Yudistra Darma Dorai yang mewakili Najib.
Ketika prosiding pendengaran permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib sebelum ini, Gomez berhujah bahawa saman itu merupakan serangan ke atas kes-kes Najib yang sedang berlangsung di mahkamah.
Bagaimanapun peguam utama Najib, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berhujah bahawa permohonan untuk membatalkan saman itu harus ditolak dan saman berkenaan perlu melalui perbicaraan penuh kerana ia melibatkan isu sama ada Thomas melakukan salah laku semasa berada di pejabat awam dengan memutuskan untuk mendakwa Najib dalam empat kes jenayah berasingan.
Pada 22 Okt tahun lepas, Najib memfailkan saman terhadap Thomas yang didakwanya membuat pendakwaan salah terhadapnya dalam beberapa kes jenayah.
Plaintif itu berhujah bahawa Thomas telah melakukan misfeasans dalam jawatan awam, penyalahgunaan proses dengan niat jahat dan kecuaian.
Menurut Najib, dakwaan terhadap Thomas itu berkaitan pendakwaan jenayah terhadapnya berkaitan kes 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), dua kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di bawah Akta SPRM 2009.
Najib bagaimanapun menyatakan ia tidak melibatkan pendakwaan berkaitan SRC International Sdn Bhd, di mana dia kini dijatuhkan hukuman 12 tahun penjara berhubung kes berkenaan.
Najib mendakwa susulan penubuhan kerajaan PH yang diketuai Dr Mahathir Mohamad pada PRU14, dia dihadapkan dengan 35 pendakwaan jenayah melibatkan empat kes itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/4ea40e0e02c0877949b8ea9216257e18.jpg)
