PM digesa tarik balik kenyataan berkaitan pengampunan Anwar
Perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob digesa menarik balik kenyataan yang didakwa mempersoalkan keabsahan pengampunan diraja kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.
Pengerusi Biro Guaman, PKR Sivarasa Rasiah berkata kenyataan Ismail Sabri itu salah, tidak bertanggungjawab dan mesti ditarik balik.
"Perdana menteri sementara wajib menyemak fakta dahulu.
“Beliau sepatutnya tahu bahawa semua isu yang beliau sebut itu telah pun dibangkitkan dalam perbicaraan mahkamah, yang keabsahan pengampunan itu dipersoal,” katanya.
Sivarasa berkata dalam kes tersebut, Mahkamah Tinggi pada 30 Oktober 2020 dan Mahkamah Rayuan pada 21 September 2021 menolak kes yang mempertikai keabsahan pengampunan Anwar.
Justeru, katanya, kesemua isu perundangan yang disebut oleh Ismail Sabri tidak berasas langsung.
"Ismail Sabri memang seorang peguam, tetapi dengan pengalaman amat minimum berbanding yang arif hakim Mahkamah Rayuan," katanya.
Ismail Sabri dalam acara perdana BN di Bagan Datuk, Perak, baru-baru ini berkata isu keabsahan pengampunan diraja terhadap Anwar antara “peluru” yang boleh digunakan dalam PRU kali ini.
Dia berkata BN perlu membangkitkan persoalan itu kerana ia diberikan sebaik sahaja PH menjadi kerajaan dan ketika tiada peguam negara.
Bagaimanapun, Sivarasah berkata surat bertarikh 14 Mei 2018 telah ditunjukkan dan peguam negara ketika itu Apandi Ali mewakilkan fungsinya dalam Lembaga Pengampunan kepada Peguam Cara Negara Zauyah Loth Khan.
"Saya sendiri ingat perbincangan dengan peguam cara negara berkenaan tarikh pendengaran permohonan pengampunan pada waktu itu.
“Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa tindakan mewakilkan itu adalah sah di sisi undang-undang,” katanya.
Katanya, isu berkaitan ketidakhadiran menteri Wilayah Persekutuan juga ditolak oleh kedua-dua mahkamah.
Katanya, mahkamah memutuskan bahawa Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri ketika itu turut memegang kuasa semua kementerian sehingga keanggotaan penuh kabinet dilantik.
"Maka Ismail Sabri wajib semak dahulu fakta dan teliti secara terperinci keputusan penghakiman mahkamah-mahkamah dalam isu-isu yang beliau bangkitkan secara terbuka ini," katanya.
Anwar menerima pengampunan diraja pada Mei 2018 selepas PH membentuk kerajaan persekutuan.
Ketika itu, dia telah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun berkaitan sabitan kes liwat. Dia kekal menyatakan pendakwaan itu bermotifkan politik.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/e150e1f4947cc2a8d7f8949d85882346.jpg)
