Johari digesa bercuti dari tugas timbalan menteri
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum yang sedang disiasat berhubung dakwaan membebaskan suspek penjenayah selepas menerima rasuah, mesti bercuti daripada tugasnya, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Mohd Johari Baharum yang sedang disiasat berhubung dakwaan membebaskan suspek penjenayah selepas menerima rasuah, mesti bercuti daripada tugasnya, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Johari sepatutnya mengambil cuti sehinggalah beliau bebas daripada tuduhan yang amat serius yang dibuat terhadapnya.
"Ini akan mengelak persepsi mengenai kurangnya kebebasan dan profesionalisme dalam siasatan yang membabitkan seorang bekas timbalan menteri di samping membersihkan pentadbiran Perdana Menteri daripada tercemar oleh rasuah," tambahnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah juga Menteri Keselamatam Dalam Negeri.
Di samping itu, Lim turut membangkitkan semula kenyataan Ketua Polis Negara, Tan sri Musa Hassan dalam satu seminar dua minggu lalu bahawa pasukan polis telah dijangkiti 'sindrom tutup sebelah mata'.
Katanya, menurut Musa, dalam usaha membasmikan jenayah, polis sentiasa dikecewakan oleh sesetengah ahli politik yang mahu polis supaya 'muka sebelah mata dan tutup sebelah mata'.
Sehubungan itu, Lim menggesa Ketua Polis Negara itu supaya menjelaskan keseriusan masalah "campurtangan ahli politik" itu.
RM5.5 juta
Dakwaan terhadap Johari muncul di Internet yang dihoskan oleh lamanweb Freewebs.com. Ia menyifatkan Johari sebagai seorang yang "paling berkuasa, tetapi timbalan menteri yang rasuah."
Lamanweb itu turut memetik tiga 'kes klasik' di mana Johari telah didakwa menyalahguna kuasanya dan kepercayan Abdullah selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Ia mendakwa Johari menerima wang rasuah untuk membantu membebaskan suspek penjenayah yang ditahan mengikut Ordinan Darurat. Dia didakwa menerima rasuah berjumlah RM5.5 juta.
Ahad lalu, media melaporkan yang Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang menyiasatkan dakwaan tersebut.
Manakala Johari telah menafikan dakwaan tersebut dan menyalahkan pihak polis kerana tidak menjalankan siasatan dengan sempurna dan tidak mematuhi 'standard prosedur operasi' (SOP).
Ini merupakan skandal terbaru yang tercetus selepas munculnya dakwaan rasuah dan salahguna terhadap Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Zulkipli Mat Noor. Berita asal

