Laporan pasukan petugas khas berhubung siasatan terhadap buku bekas peguam negara Tommy Thomas telah didedahkan kepada umum semalam.

Kabinet menubuhkan pasukan petugas khas itu tahun lalu bagi menyiasat buku Thomas bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang menceritakan tugasnya ketika menjadi peguam negara.

Laporan pasukan petugas itu telah dinyahsulitkan oleh kabinet pada 30 Sept lalu dan didedahkan malam tadi.

Berikut ringkasan cadangan oleh pasukan petugas khas berkenaan.

Peranan berasingan AG dan pendakwa raya

Pasukan petugas mengesyorkan agar peranan pendakwa raya diasingkan daripada peguam negara.

Menurutnya, peranan peguam negara sepatutnya terhad kepada menasihati Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan dalam hal ehwal undang-undang.

Selain menentukan sama ada sesuatu kes boleh didakwa dan menjalankan pendakwaan, pasukan petugas khas itu berkata pendakwa raya juga seharusnya boleh menasihati Agong dan raja-raja mengenai pemberian pengampunan atau pengurangan hukuman.

Ini adalah cadangan oleh pasukan petugas berkenaan mengenai topik "pendakwaan terpilih". Laporan itu tidak merujuk "pendakwaan terpilih" yang dilakukan di pihak Thomas.

Kebebasan dalam pelantikan hakim

Pasukan petugas itu mengesyorkan kerajaan meminda Seksyen 5(1)(f) Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009.

Ini bagi melarang perdana menteri menasihati Agong mengenai pelantikan mana-mana individu ke jawatan kehakiman di mahkamah yang tidak dipilih dan disyorkan oleh Jawatankuasa Pelantikan Kehakiman (JAC).

Undang-undang juga harus menghalang perdana menteri daripada berperanan dalam pelantikan empat anggota "terkemuka" JAC.

Pasukan petugas itu juga mengesyorkan penambahbaikan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan bagi menghalang peguam negara daripada terlibat dalam pelantikan pegawai kehakiman.

Melindungi kerahsiaan kerajaan

Pasukan petugas itu mendakwa kandungan buku Thomas mendedahkan komunikasi antara beliau, Agong, perdana menteri dan ketua hakim negara

Buku Thomas juga mendedahkan maklumat mengenai prosiding Lembaga Pengampunan dan rundingan antara kerajaan persekutuan dan pihak yang terlibat dalam kontrak kerajaan.

Sehubungan itu, pasukan petugas mengesyorkan supaya Thomas disiasat mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan (Membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

Kapal The Equanimity

Pasukan petugas itu mengesyorkan siasatan sama ada Thomas mempunyai kuasa untuk menerima tawaran daripada Genting Bhd untuk menjual The Equanimity di bawah harga yang ditetapkan oleh Mahkamah Admiralty.

Pasukan petugas itu berkata Thomas juga berbuat demikian tanpa merujuk kepada "pemilik sah dan benefisial" The Equanimity iaitu Kumpulan 1MDB dan Kementerian Kewangan Diperbadankan.

Tiada rujukan dibuat kepada Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), kata pasukan petugas itu.

“Berdasarkan apa yang tertulis (dalam buku Thomas), nampaknya penerimaan tawaran Genting sebanyak AS$126 juta adalah keputusan unilateral Thomas sendiri.

"Ini menimbulkan persoalan sama ada Thomas, sebagai seorang Peguam Negara, mempunyai kuasa untuk segera menerima tawaran tersebut tanpa merujuk tawaran itu kepada 1MDB dan pemegang sahamnya untuk pertimbangan dan kelulusan," kata pasukan petugas itu.

Pasukan petugas itu juga mengesyorkan siasatan apakah terdapat kaitan antara penjualan kapal itu dan penarikan balik kes mahkamah terhadap Genting dan pengembalian semula insentif cukai yang diberikan kepada Genting pada 2014, mengakibatkan kehilangan hasil bagi kerajaan Malaysia dan keuntungan monetari yang sepadan dengan Genting.

Konflik kepentingan

Pasukan petugas itu mengesyorkan Ganesan Nethi disiasat oleh SPRM kerana terdapat konflik kepentingan.

Ganesan, yang Thomas gambarkan dalam bukunya sebagai bekas rakan kongsi, dilantik oleh Thomas untuk merangka semua pertuduhan terhadap Goldman Sachs.

Pasukan petugas itu berkata ia berpuas hati dengan penjelasan daripada pejabat peguam negara bahawa Thomas mungkin tidak bertindak di luar kuasa perlembagaan atau undang-undangnya dalam melantik peguam swasta untuk mengendalikan penugasan undang-undang.

Bagaimanapun, melantik bekas rakan kongsi menyebabkan kes-kes tersebut berpotensi terbuka untuk penelitian kehakiman dan/atau boleh dipinda kepada semakan kehakiman atas konflik kepentingan.

"Walaupun Ganesan menawarkan perkhidmatannya secara pro bono atau fakta bahawa dia tidak dibayar adalah tidak material. Ini kerana gratuity ditakrifkan secara meluas dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009," kata pasukan petugas itu.

Begitu juga, mereka juga mengesyorkan untuk siasatan sama ada terdapat konflik kepentingan dalam pelantikan Vinayak Pradhan sebagai pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

"Menerusi buku itu, terdapat bukti yang kukuh untuk menunjukkan hubungan rapat dan selesa antara Thomas dan Vinayak.

“Hubungan mereka bermula dari zaman sekolah menengah,” kata pasukan petugas itu.

Pasukan petugas itu juga mendakwa Thomas merampas kuasa menteri undang-undang ketika itu VK Liew dalam pelantikan dan/atau penyingkiran pengarah AIAC.

Kenyataan berbaur hasutan

Pasukan petugas itu mendakwa Thomas telah membuat kenyataan berbaur hasutan dalam bukunya berhubung komennya mengenai rusuhan 13 Mei.

Sehubungan itu, pasukan petugas mengesyorkan Thomas disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Seksyen 124I Kanun Keseksaan.