PKR tak calonkan semula penyandang kerusi Alor Setar
Penyandang kerusi parlimen Alor Setar Chan Ming Kai dari PKR mendedahkan bahawa dia tidak akan bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.
Dalam satu kenyataan, dia berkata parti telah memaklumkannya bahawa dia tidak akan dicalonkan untuk mana-mana kerusi termasuk Alor Setar.
“Terima kasih kepada semua rakan, saya dimaklumkan bahawa saya tidak lagi dicalonkan oleh parti untuk mana-mana kerusi dalam PRU.
“Saya sentiasa menyahut seruan kepimpinan kita untuk menerokai kerusi luar bandar, (dan) saya telah mencadangkan untuk memberi laluan di kerusi sedia ada untuk orang baru dan mencabar kerusi yang masih belum dimenangi atau dikhianati - seperti Bagan Datuk, Pagoh, Gombak atau Ampang.
“Tetapi keputusan parti setakat ini ialah mencadangkan calon pengganti baru di kerusi Alor Setar sahaja,” kata Chan.
Chan - yang telah berkhidmat dalam parti selama 20 tahun - berkata dia menghormati dan menerima keputusan parti untuk tidak mencalonkannya.
“Terima kasih kepada semua rakyat dan ahli parti yang menyokong saya sepanjang 20 tahun berkhidmat dari Perak ke Perlis hingga Kedah. Reformasi!” katanya.
Chan sebelum ini berkhidmat dua penggal sebagai Adun, di Simpang Pulai (2008-2013), dan kemudian Indera Kayangan (2013-2018).
PKR bersedia untuk mendedahkan senarai calon yang dimuktamadkan pada 28 Okt.
Awal bulan ini, timbalan presiden parti Rafizi Ramli mengumumkan laman web baru yang membolehkan rakyat Malaysia mencalonkan diri mereka sebagai calon PKR untuk PRU15.
Inisiatif itu bertujuan untuk membolehkan PKR "memperluaskan kumpulan bakatnya".
Antara lain, calon akan dinilai berdasarkan kekuatan jentera mereka, pengaruh media sosial, dan peranan dalam parti.
Dalam setiap kerusi, lima calon teratas akan disenarai pendek. Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Rafizi, yang juga pengarah pilihan raya parti itu kemudian akan berbincang mengenainya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/04/758c048348b64aa7bb3eb4df819d045c.jpg)
