Kit Siang saran PH restu Tawfik cabar Zahid di Bagan Datuk
PRU15 | Keinginan Tawfik Ismail menjadi wakil Pakatan Harapan (PH)mencabar Ahmad Zahid Hamidi di kubu kuat presiden Umno itu menarik perhatian veteran DAP, Lim Kit Siang, hari ini.
Dalam kenyataannya, Lim berpendapat PH wajar memberikan respon positif terhadap niat pengasas bersama kumpulan reformasi politik Gerak Independent (GI) berkenaan.
Menurut Lim, dengan cara itu PH boleh menunjolkan tema utama PRU mereka kali ini iaitu melawan rasuah dan membina Malaysia untuk menjadi negara yang boleh dibanggakan.
Ia sekali gus, tambahnya, menyanggah keinginan Umno-BN memenangi PRU ke-15 bagi mengelakkan sebahagian pemimpin gabungan terbabit didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah seperti dinyatakan Ahmad Zahid dalam ucapannya baru-baru ini.
"Majlis Presiden PH patut memberikan respons yang berpatutan dan positif kepada permohonan Tawfik untuk bertanding menggunakan tiket PH di Bagan Datuk melawan Ahmad Zahid Hamidi," katanya.
Untuk rekod Tawfik merupakan anak sulung bekas timbalan perdana menteri Dr Ismail Abdul Rahman dan dia pernah menjadi ahli Parlimen Sungai Benut.
Tawfik bagaimanapun meninggalkan Umno pada 1987.

Baru-baru ini Tawfik, 71, memaklumkan dia akan bertanding sebagai calon bebas di bawah platform GI bagi menentang penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu.
Semalam dia secara terbuka menyatakan keinginannya menjadi wakil PH semasa bertanding di Bagan Datuk apabila PRU diadakan pada 19 Nov nanti.
Mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini, Tawfik berkata langkah itu merupakan strategi untuk mengelak undi PH berpecah.
Tawfik pernah menjadi tokoh korporat dan pernah berkhidmat dalam cabang perniagaan Umno, Fleet Group Sdn Bhd. Dia juga memainkan peranan dalam menubuhkan stesen penyiar swasta pertama di Malaysia, TV3, pada 1984.
Bagan Datuk merupakan kawasan parlimen yang dimenangi Ahmad Zahid selama enam penggal atau sejak 1995.
Awal tahun ini, GI mengumumkan barisan calon PRU ke-15 bagi kerusi parlimen Subang, Petaling Jaya, Wangsa Maju, Kota Kinabalu dan Batu.
Pada PRU 2018 empat daripada kerusi berkenaan dimenangi oleh PKR, manakala dua kerusi lagi DAP.
P Prabakaran - yang menang di Batu atas tiket bebas pada PRU ke-14 - menyertai PKR.
/file/1234/83fe05b5061e677e77ae2464204886f9.jpeg)
