Perletakan jawatan bagi memaksa pilihan raya kecil diadakan di Kajang dan Port Dickson adalah contoh sebenar bagaimana pengundi "dikhianati" dan bukannya peristiwa "Langkah Sheraton", kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional Azmin Ali.

Dalam temu bual dengan Astro Awani malam semalam, Azmin berkata Anwar Ibrahim memaksa penyandang kedua-dua kerusi parlimen di Kajang dan Port Dickson itu yang sihat dan berkemampuan untuk meletakkan jawatan masing-masing pada 2014 dan 2018.

Ini, kata Azmin, bagi membolehkan Anwar mengambil alih kedua-dua jawatan tersebut demi kepentingan peribadi.

“(Kedua-dua) wakil rakyat masih hidup, masih berkhidmat, dipilih oleh rakyat semasa PRU. Tetapi kerana nafsu serakah seseorang maka wakil rakyat ini dipaksa untuk meletakkan jawatan untuk membolehkan beliau menjadi menteri besar Selangor pada ketika itu.

“Apakah kita lupa. Apakah ini bukan pengkhianatan namanya?” soal zmin.

PRK Kajang diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh terpaksa berundur untuk memberi laluan kepada Anwar, dan kemudiannya Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengambil alih jawatan menteri besar Selangor daripada Khalid Ibrahim.

Walaupun Azmin tidak menyokong "Langkah Kajang" seperti ia dinamakan kemudiannya, namun dia akhirnya mendapat manfaat kerana dipilih menggantikan Khalid pada September 2014.

PRK Port Dickson pula menyaksikan penyandangnya - Danyal Balagopal Abdullah - berundur untuk memberi laluan kepada Anwar, yang baru sahaja diberikan pengampunan atas semua sabitan kesalahannya sebelum ini.

Ketika itu, Azmin adalah antara pemimpin tertinggi PH yang lantang berkempen untuk Anwar.

Azmin, yang sering digelar "pengkhianat" oleh penyokong PH kerana peranannya menyebabkan kerajaan PH tumbang, berkata dia tidak layak diberi label berkenaan, tidak seperti mereka yang mendalangi pilihan raya kecil Kajang dan Port Dickson.

Dia menjelaskan bahawa dirinya tidak pernah "melompat" dari satu parti ke parti yang lain. Dakwanya dia "dipecat" daripada PKR kerana terlalu kritikal membidas parti.

“Tuduhan bahawa kita golongan katak adalah tidak berasas kerana saya dan kumpulan saya dipecat akibat tidak wujud demokrasi dalam parti lama.

“Kita tidak boleh menegur, tidak boleh bagi pandangan yang berbeza, maka ada pihak yang merasakan kekuatan mereka dicabar maka mengambil keputusan untuk memecat saya.

“Itu bukan masalah bagi saya. Perjuangan masih diteruskan,” katanya.

Komen Azmin malam semalam bercanggah dengan kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Feb 2020, ketika dia dan 10 ahli Parlimen lain mengisytiharkan bahawa mereka meninggalkan PKR untuk membentuk "blok bebas".

Azmin berkata dia tidak mempunyai peranan sehingga mencetuskan pentadbiran PH tumbang pada 2020, yang disebut sebagai "Langkah Sheraton".

“Malangnya oleh kerana pergaduhan dan perebutan kuasa di dalam PH itu sendiri menyebabkan Dr Mahathir Mohamad letak jawatan.

“Mengapakan dipersalahkan saya atau Muhyiddin Yassin sedangkan berlaku kekosongan itu kerana tindakan PM meletakkan jawatan maka proses penggantian itu dilakukan mengikut perlembagaan negara yang sedia ada,” kata Azmin.

Sebaliknya, Azmin berkata pentadbiran PH tumbang kerana tidak dapat memenuhi aspirasi rakyat.

“Mereka telah gagal untuk memenuhi aspirasi rakyat. Mereka telah bertembung dengan rakyat,” kata Azmin.

Sebagai contoh, dia mendakwa lapan menteri kabinet era PH cuba memecat ketua setiausaha kementerian masing-masing.

“Itu tidak pernah berlaku. Sebab itu, Dr Mahathir tidak bersetuju dengan lapan menteri PH yang mendesak supaya lapan KSU ditukar.

“Mengapa sebuah kerajaan yang baru yg diberi mandat oleh rakyat ingin bergaduh dengan angota perkhidmatan awam sedangkan mereka tidak terlibat dgn parti-parti politik,” kata Azmin.

Seterusnya, Azmin mendakwa pentadbiran PH cuba memadam dan menghapuskan peruntukan-peruntukan pembangunan yang menyebabkan sesuatu kaum trtentu di negara ini berasa tertekan.

Ketiga dan terakhir, Azmin mendakwa pemimpin PH sering membuat keterangan dan kenyataan yang keras dan keterlaluan sehingga menyebabkan rakyat berasa mereka tidak lagi harmoni duduk di bawah PH.

Sementara itu, Azmin berkata dia akan menerima pakai slogan “Melangkah Pasti, Bersatu Berbakti" bagi kempennya mempertahankan kerusi parlimen Gombak.

“Saya maju ke hadapan, saya tidak mahu toleh ke belakang. Jadi melangkah itu adalah kepastian bagi saya.

“Kalau rakyat Malaysia bersatu dan kita menjalin muafakat, satu kekuatan baru, insya-Allah kita berbakti bagi rakyat,” katanya.

Azmin, 58, adalah Adun Selangor selama empat penggal dan empat penggal ahli Parlimen Gombak.