Kereta Adun PKR kena lempar bata, Chua syaki ada unsur politik
Kereta milik Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Chua Wei Kiat, rosak selepas seorang penunggang motosikal membaling batu bata ketika dia melawat sebuah perkampungan di kawasannya pagi tadi.
Chua telah membuat laporan polis, dan menggesa pihak berkuasa segera menyiasat kejadian itu.
Dalam laporan polis yang dikongsikan bersama media, Adun PKR itu berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika dia melawat program Jualan Ehsan Selangor di Rawang hari ini.

“Saya nampak orang ramai berkumpul berhampiran kereta saya iaitu Perodua Ativa berwarna merah.
“Saya pergi periksa dan mendapati ada kerosakan pada spoiler kereta saya. Saya diberitahu bahawa seorang penunggang motosikal, berbaju hijau, telah membaling batu bata ke arah kereta saya,” katanya dalam laporan itu.
Mengulas lanjut di laman Facebook, Chua mendakwa terdapat unsur politik yang terlibat dalam kejadian itu sambil berkata ada pihak tertentu yang cuba mengganggu tugasnya sebagai wakil rakyat.
“Perkara seperti perbuatan gangster atau vandalisme sepatutnya sudah tidak diamalkan di Malaysia.
“Kita bawa budaya politik nilai dan bukannya budaya vandalisme. Ayuh kita ubah Malaysia ke negara yang baru!” katanya.

/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/98b3751f0df58dfffb889f89a82dd431.jpg)
