Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi tak pernah tuduh Anwar Freemason - PAS
Diterbitkan:  Oct 26, 2022 4:31 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Abdul Hadi Awang tidak pernah menggelar Anwar Ibrahim sebagai Freemason, kata Pejabat Presiden PAS itu dalam penafian hari ini.

Pejabat Abdul Hadi berkata demikian sebagai maklum balas terhadap pengerusi PH itu yang dikatakan menghidupkan semula isu itu dalam ceramahnya semalam.

"Pihak kami dengan ini terpanggil untuk menafikan dakwaan tersebut, malah untuk rekod presiden PAS tidak pernah mengungkapkan tuduhan yang dikatakan itu," katanya pada kenyataan hari ini.

Isu itu bermula sejak April 2020 lagi, apabila Hadi didakwa telah menghantar surat dalam bahasa Arab kepada pemimpin Islam di seluruh dunia.

Terjemahan surat yang dikatakan itu telah menjadi tular ketika itu.

Dalam terjemahan itu, Hadi tidak mengatakan bahawa Anwar ialah seorang Freemason.

Sebaliknya, dia berkata langkah melantik Anwar sebagai perdana menteri disokong oleh pertubuhan Freemason, bersama-sama dengan zionis dan kuasa barat.

Anwar sebagai jawapan kepada surat itu menafikan dirinya ahli Freemason, tetapi menunjukkan bahawa terdapat nama serupa dengannya di Kanada yang menganggotai Freemason.

Isu ini timbul lagi semalam, apabila Anwar membalas serangan Hadi terhadap DAP - yang dituduhnya sebagai komunis.

Anwar mengungkit tuduhan Freemason yang didakwa untuk menunjukkan bahawa kata-kata Hadi itu tidak selalunya benar.

Bagaimanapun, pejabat presiden PAS dalam kenyataan hari ini berkata parti itu menolak politik fitnah dan tuduhan tidak berasas, sambil memetik pepatah Arab yang berbunyi:

“Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu dizalimi.”

Lihat Komen
ADS