Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Datuk Fairuz Renddan hari ini dilantik sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah.

Pelantikan itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

“Majlis angkat sumpah Fairuz akan ditetapkan oleh pihak Istana negeri,” katanya menerusi kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Tempat Fairuz sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan negeri akan digantikan oleh ADUN Kukusan Rina Jainal.

Hajiji juga mengumumkan pengganti bagi jawatan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri selepas penyandangnya ADUN Bandau Datuk Wetrom Bahanda, bertindak meninggalkan barisan kabinet negeri awal bulan ini.

Jawatan itu digantikan oleh ADUN Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, manakala jawatan Nizam sebagai Pembantu Menteri Kewangan negeri diisi ADUN Matunggong Datuk Julita Majungki, yang sebelum ini Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

- Bernama