Dr Mahathir Mohamad berkata pendiriannya berhubung kerjasama pembangkang untuk mengalahkan Umno, seperti pada pilihan raya umum (PRU) 2018, kekal tidak berubah.

Bagaimanapun, dia tidak pasti sama ada parti pembangkang lain mempunyai pandangan yang sama kali ini, ataupun tidak.

Dalam satu hantaran di Facebook, Mahathir menjelaskan bahawa videonya sebelum ini mengenai membuat langkah pertama untuk bekerjasama dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim adalah untuk menjelaskan konteks dan situasi yang berlaku pada 2018.

“Jadi tidak timbul saya mahu atau tidak mahu bekerjasama dengan pemimpin pemimpin pembangkang yang lain pada kali ini kerana prinsip (saya berhubung kerjasama) itu tidak berubah.

“Yang saya tidak pasti ialah jika pemimpin-pemimpin pembangkang hari ini telah berubah fikiran dan perasaan terhadap Umno.

“Saya juga tidak pasti jika pemimpin pemimpin pembangkang masih merasa Umno akan merosakkan negara jika kembali memimpin dan akan membawa kembali kleptokrat untuk memerintah,” katanya.

'Teserah kepada mereka'

Justeru, Mahathir berkata kali ini, dia tidak akan memulakan langkah kecuali dengan mereka yang diyakini berfikiran semacam dirinya.

“Untuk pemimpin pembangkang yang lain, kali ini terserah kepada mereka,” katanya.

Bekas perdana menteri itu adalah pengerusi penaja Gerakan Tanah Air (GTA). Selain partinya Pejuang, ahli GTA lain termasuk parti Putra, pimpinan Ibrahim Ali, parti Islam Berjasa, dan Parti Perikatan India Muslim Kebangsaan (Iman).

Gabungan itu telah menjenamakan diri mereka sebagai alternatif "bersih" berbanding Umno untuk orang Melayu.

Anwar - yang mengetuai Pakatan Harapan - masih memikirkan jika dia mahu bertemu Mahathir, manakala terdapat pandangan berbeza dalam gabungan itu berhubung cadangan untuk bekerjasama dengan GTA.

Pada 15 Oktober lalu, Mahathir yang juga adalah pengerusi Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu menyarankan parti-parti pembangkang supaya melupakan permusuhan sesama sendiri bagi menghadapi PRU15.

Penyandang kerusi parlimen Langkawi itu berpendapat parti-parti pembangkang akan tewas sekiranya mereka tidak bekerjasama.

Minggu lalu, Mahathir sekali lagi menghulurkan tangan pendamaian dengan Anwar dengan menegaskan dia sedia melakukannya demi mengelakkan kerosakan pada negara.

Mengimbas kerjasama pada mereka PRU14, Mahathir berkata dia melakukannya kerana merasa negara ketika itu berdepan dengan kerosakan yang amat besar akibat perbuatan Perdana Menteri Najib Razak dan kleptokrat di dalam kerajaan.

“Kerana itu saya ketepi perasaan peribadi dan sanggup telan kecaman yang kata saya jilat ludah sendiri apabila bertemu musuh musuh saya termasuk Anwar untuk menjatuh musuh negara yang amat besar kejahatannya.

“Saya berasa pada ketika itu Anwar juga berfikir semacam saya, dan sebab itu dia juga sanggup bekerjasama dengan saya.

“Atas sebab-sebab tersebut, semasa itu, saya sanggup memulakan langkah jika yang lain tidak sanggup memulakannya,” katanya.

Menurutnya, keputusannya pada ketika itu telah membuah hasil hingga pembangkang berjaya jatuhkan kerajaan BN.