Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata panggilan telefon dengan penyandang parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali, mengenai dia akan bertanding di kerusi itu sekadar berbasa-basi.

Bercakap kepada pemberita, Amirudin berkata perbualan itu tidak seharusnya diambil serius kerana dia kadang-kadang menghubungi Azmin dalam kapasiti profesional antara menteri besar dan menteri kabinet.

Amirudin berkata Azmin (atas, kiri) juga merupakan pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor (MTNg).

"Sebahagian urusan, kadang-kadang memerlukan saya berhubung dengan dia, seperti hal-hal pentadbiran sebab dia Pengerusi MTNg. Kadang-kadang nak buat mesyuarat, masa tidak sesuai, jadi saya hubungi dalam bentuk WhatsApp dan 'call' kalau perlu.

"Kita berurusan secara profesional dan sebelum itu ada berbasa-basi, tetapi dianggap serius, ia menunjukkan dia sudah ketandusan modal.

"Kalau dia nak anggap semua benda jadi serius, tak apalah, saya tahu dia agak 'boring' (bosanlah) tu," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Azmin yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu sebelum ini mengulas mengenai panggilan telefon itu semasa ceramahnya baru-baru ini.

Klip video tular di media sosial memaparkan Azmin bercakap tentang Amirudin mengatakan dia diminta PKR untuk bertanding di kerusi parlimen Gombak.

Azmin, yang merupakan penyandang parlimen Gombak selama tiga penggal berkata Amirudin menghubunginya bulan lalu untuk memaklumkan agenda sebenar di sebalik keputusan tersebut.

“Dia kata, 'Aku disuruh bertanding di Gombak. Aku tau Min, ini dia nak sembelih aku di Gombak'.

"Jadi saya beritahu dia, ‘silakan’," kata Azmin.

Azmin ialah bekas timbalan presiden PKR yang meninggalkan parti semasa rampasan Langkah Sheraton 2020.

Dia kemudiannya menyertai Bersatu dan menjadi menteri kanan (Ekonomi dan Kewangan) di bawah perdana menteri dan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.