PKR mengumumkan barisan 72 calon parlimen pada malam tadi, tetapi yang jelas tiada dalam senarai ialah calon parlimen Sungai Siput.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman itu, timbalan presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata tiada pengumuman untuk tiga kerusi kerana rundingan kerusi masih diteruskan dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Muda.

Kerusi berkenaaan ialah Sungai Siput dan Tapah di Perak, serta Sembrong di Johor.

“(Kerusi-kerusi) Ini telah diperuntukkan kepada PKR, tetapi kerana ia ditandai oleh Muda atau PSM dan kami akan menutup rundingan itu. Kemungkinan besar ia akan dimuktamadkan dalam satu atau dua hari akan datang.

“Jadi, kita tidak boleh umumkan dahulu, kerana ia bergantung kepada hasil rundingan pakatan pilihan raya,” katanya.

Ditanya sama ada PSM dan Muda hanya ingin bertanding di tiga kerusi, Rafizi menjelaskan bahawa ini hanyalah kerusi yang diperuntukkan kepada PKR di Semenanjung Malaysia yang sedang dalam rundingan.

Calon PKR di Sabah hanya akan diumumkan pada 31 Okt, dan Sarawak pada 1 Nov, tambahnya.

PSM dan Muda sedang mengadakan rundingan pilihan raya dengan Pakatan Harapan(PH) pada pilihan raya umum bulan depan.

Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj menyandang kerusi Sungai Siput selama dua penggal dari 2008 hingga 2018 selepas memenangi kerusi itu semasa bertanding di bawah tiket PKR.

Pada pilihan raya umum ke- 14, dia tewas kepada calon PKR, Kesavan Subramaniam dalam pertandingan empat penjuru semasa bertanding di bawah tiket PSM.

Sebelum ini, sumber memberitahu Malaysiakini bahawa Jeyakumar berkemungkinan diberi peluang sekali lagi untuk bertanding di kerusi itu, manakala Kesavan akan dipindahkan ke DUN Hutan Melintang.