Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Phahrolrazi: PH akan terjejas di Kedah jika DAP bertanding di Jerai
Diterbitkan:  Oct 30, 2022 9:58 PM
Dikemaskini: 1:58 PM

Pengerusi Amanah Kedah Phahrolrazi Mohd Zawawi yang baru dipecat hari ini menggesa penyokong PH agar memberi tekanan kepada kepimpinan gabungan itu agar tidak memberikan kerusi Parlimen Jerai kepada DAP.

Menegaskan dia tidak membenci DAP, Phahrolrazi bagaimanapun berkata pengundi Melayu di kerusi luar bandar belum bersedia untuk mengundi parti itu.

Katanya lagi, jika DAP bertanding di Jerai, ia juga akan menjejaskan PH di kerusi lain.

"Dalam konteks Kedah, 75 hingga 80 peratus adalah pengundi Melayu, yang mana majoritinya ada persepsi dan sentimen yang mereka tidak boleh terima DAP.

"Oleh kerana kita banyak bergantung kepada undi Melayu di Kedah, maka itulah pendirian kita (bahawa DAP tidak sepatutnya bertanding di Jerai)," katanya ketika sidang media hari ini.

Dia berkata jika ia berlaku, ia akan memburukkan lagi persepsi yang mengatakan Amanah adalah "kuda tunggangan" DAP.

Amanah menukar kerusi parlimen itu dengan kerusi Alor Gajah - yang akan ditandingi oleh bekas ketua menteri Melaka Adly Zahari.

DAP pula akan meletakkan timbalan pengerusi negeri, Zulhazmy Sharif di Jerai. Berdasarkan PRU lalu, 80 peratus pengundi di situ adalah Melayu.

Parti itu dalam usaha untuk bertanding di lebih banyak kerusi majoriti Melayu bagi memperbaiki imej anti-Melayu di kalangan pengundi konservatif.

Mengulas lanjut, Phahrolrazi berkata dia telah menyuarakan bantahan berhubung perkara itu selama hampir sebulan.

Bantahan itu serta ancaman Amanah Kedah akan memboikot PRU15 jika DAP bertanding di situ membawa kepada pemecatannya hari ini.

Dia juga mendakwa pemimpin Amanah membuat keputusan tanpa mendapatkan pandangan di lapangan.

Menegaskan DAP adalah antara rakan terbaik dalam gabungan politik, dia berkata realitinya orang Melayu luar bandar di Kedah masih belum bersedia untuk mengundi DAP memandangkan kaum kekal menjadi faktor utama.

Katanya lagi, BN dan PAS juga akan menggunakan isu itu untuk menyerang Amanah dan PKR.

"Ini akan menjadi senjata PAS dan Umno, bahawa Amanah dan PKR tidak dapat melindungi kepentingan Melayu," katanya lagi.

Dengan enam hari berbaki sebelum penamaan calon, Phahrolrazi berkata masih ada masa untuk kepimpinan PH mengubah pandangannya.

Selagi keputusan itu kekal, dia berkata bahagian Amanah di Kedah yang menyokongnya tidak akan berkempen dalam PRU15.

Lihat Komen
ADS