Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dilema Marzuani: Setia pada Annuar atau terima tawaran Zahid
Diterbitkan:  Nov 1, 2022 3:40 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

PRU15 | Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin, yang ditawarkan untuk bertanding kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengaku berada dalam keadaan serba salah untuk menerima tawaran tersebut.

Ketua Puteri UMNO Ketereh itu berkata ini kerana penyandang kerusi berkenaan Tan Sri Annuar Musa yang merupakan Ketua UMNO Ketereh adalah ketuanya di bahagian manakala Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah ketua partinya.

"Saya rasa sedikit tekanan kerana kita sedia maklum penyandang kerusi Parlimen Ketereh iaitu Tan Sri Annuar Musa merupakan ketua saya. Saya rasa serba salah untuk terima tawaran ini daripada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kerana dia juga ketua parti,” katanya.

Marzuani Ardila ketika dihubungi Bernama hari ini berkata beliau belum membuat keputusan untuk menghadiri majlis pengumuman calon Barisan Nasional (BN) yang dijadualkan diadakan di Kuala Lumpur malam ini kerana masih berbincang dengan kepimpinan UMNO bahagian Ketereh.

"Apa yang boleh saya katakan, saya masih lagi sedang memikirkan keputusan ini kerana saya setia dengan Annuar dan hormat keputusan Ahmad Zahid," katanya.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia terdahulu mengesahkan tawaran sebagai calon kerusi Parlimen Ketereh telah diberikan kepada Marzuani Ardila.

Pada PRU14, Annuar memenangi Parlimen Ketereh dengan majoriti 4,626 undi, menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR.

- Bernama

Lihat Komen
ADS