Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BN cari nahas di Perlis - Shahidan ikrar pertahan Arau

Shahidan Kassim berikrar untuk mempertahankan parlimen Arau walaupun digugurkan sebagai calon BN.

Ketua Umno Arau itu berkata dia masih mempertimbangkan tiket parti yang akan diwakilinya untuk bertanding kerusi itu .

"Saya bertandinglah. Takkan (jadi calon) BN.

"BN dah tak pilih saya. Saya pilihlah parti yang mahu saya bertanding. InsyaAllah sah akan bertanding," katanya kepada pemberita malam tadi.

Secara kebetulan, Perikatan Nasional tidak mengumumkan calon gabungan itu untuk Arau pada majlis malam tadi.

Ini membuka spekulasi kemungkinan PN akan mengambil Shahidan sebagai calonnya.

Bagaimanapun, Shahidan berkata dia belum berbincang dengan PN, tetapi mengakui bahawa mereka telah menghubunginya.

"(Bertanding) tiket apa itu nombor dua. Saya akan bertanya cawangan-cawangan (Umno Arau bawah teraju) saya akan bertanding atas tiket apa," jelasnya.

Sementara itu, Shahidan mengecam Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dan menuduhnya "berbohong" kerana didakwa membuat keputusan sepihak terhadap calon dan menghukum pengkritik.

Kata Shahidan, Umno Perlis telah mengemukakan lima calon untuk kerusi Arau tetapi tiada seorang pun yang dipilih oleh pucuk pimpinan parti.

"Pada pandangan saya presiden Umno dah mungkir janji dan 'pecah amanah'. Sebab presiden diberi amanah dia bertanggungjawab beri keadilan, tetapi nampaknya dia tidak mengikutnya

"Saya di Arau tidak ada masalah, ambil calon boleh menang. Bukan calon 'mesin padi' atau calon yang tak pernah balik, tak pernah menjejak kaki ke bahagian dan sekarang telah dicalonkan," katanya.

Menurut Shahidan, pemilihan calon Zahid menjadikan keadaan politik di Perlis "rosak."

Selain kerusi Arau, parlimen Padang Besar juga akan menyaksikan penyandangnya Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin (gambar, atas) tidak dicalonkan BN.

Pada pengumuman calon BN semalam, Ahmad Zahid memberitahu Ketua Puteri Umno Zahida Zarik Khan akan diletakkan di Padang Besar manakala Rozabil Abd Rahman menggantikan Shahidan di Arau.

Pun begitu, Shahidan berkata dia lebih mirip memilih calon yang memegang jawatan parti di Perlis.

“Ini (Rozabil) tidak ada jawatan dalam parti dipilih.

"Termasuklah Padang Besar hantar calon 'payung terjun'. Ini semua cari nahas.

"Nahas politik akan berlaku di Perlis," tegas Shahidan memberikan amaran.

Justeru, dia menggesa Zahid berundur sebagai presiden parti dan membenarkan Ismail Sabri Yaakob mengendalikan parti sebagai pengarah pilihan raya.

"Saya percaya BN akan jadi lebih elok kalau Zahid Hamidi berhenti jadi presiden dan tidak bertanding," katanya lagi.

Shahidan juga menegaskan pengunduran Zahid demi menyelamatkan negara dan BN.

"Dan kita lihat SPRM kata, dia dah memaklumkan parti-parti supaya orang yang ada kes mahkamah dan sedang disiasat tak wajar bertanding.

"Tapi Umno tidak peduli," katanya.

Walaupun Shahidan tidak menyentuh pengerusi BN itu secara langsung namun Zahid kini sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah atas dakwaan rasuah, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Pihak pendakwaan pada 26 Sept lalu telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Ahmad Zahid dalam kes rasuah sistem visa luar negara (VLN).

Sementara itu, Zahid masih dibicarakan atas 47 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, membabitkan 12 jenayah pecah amanah, lapan pertuduhah rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.

Untuk rekod, Shahidan berkecimpung dalam politik Perlis lebih 30 tahun dan menguasai parlimen Arau pada pilihan raya umum 1986, 1990, 2013 dan 2018 serta pernah menjadi menteri besar dari 1995 hingga 2008.

Sejak 1986, Shahidan tidak pernah tewas bertanding DUN atau parlimen dalam gelanggang pilihan raya umum dan pernah mengalahkan dua Mursyidul Am PAS, Allahyarham Haron Din dan Hashim Jasin.

Lihat Komen
ADS