Umno Gombak: Azmin berdepan tugas berat tanpa Mahathir
PRU15 | Tanpa Dr Mahathir Mohamad, Umno Gombak berpendapat peluang untuk Azmin Ali mempertahankan kerusinya di kawasan itu sedikit sukar pada 19 Nov ini.
Ketua Umno Gombak, Megat Zulkarnain Omardin, berkata dia yakin sebab utama Azmin berjaya mengekalkan kerusinya dengan majoriti lebih besar pada 2018 adalah disebabkan "faktor Mahathir".
Berbeza daripada pandangan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang menanggap Mahathir tidak menyumbang kepada pertambahan undi Melayu buat PH, Megat Zulkarnain bahkan berkata, ramai pengundi Gombak beralih daripada BN kerana pengaruh bekas perdana menteri berkenaan.
Pada 2018, kawasan parlimen Gombak terdiri daripada 77 peratus pengundi Melayu, 11 peratus Cina, 11 peratus India dan selebihnya pengundi berbangsa lain.
Kata Megat Zulkarnain, secara jujur dia perlu mengakui ada ramai penyokong Mahathir di Gombak, antara lain disebabkan kawasan berkenaan adalah bandarh.
"Jadi berlaku swing vote (peralihan undi) kerana Tun (Mahathir). Memang ada berlaku, saya tak nafikan," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Megat Zulkarnain lagi, mereka sendiri mengakui memberikan sokongan dan undi kepada PH kerana adanya Mahathir dalam gabungan pembangkang berkenaan.
Pun begitu menurut Megat Zulkarnain, Umno Gombak yakin undi seumpama itu tidak akan berulang lagi sekali.
Azmin memenangi kerusi Gombak buat kali pertama pada PRU 2008 apabila menewaskan calon BN, Said Anuar Said Ahmad, dengan majoriti 6,867 undi.
Pada PRU berikutnya lima tahun kemudian Azmin mengekalkan kerusi itu dengan majoriti berkurangan sedikit iaitu 4,734 sebelum mencapai kemenangan besar pada pada 2018 apabila dia memperoleh 53 peratus daripada jumlah undi dengan mencatat majoriti 48,721 undi.
Tiada lagi sokongan PKR
Pada Feb 2020, bekas menteri besar Selangor itu meninggalkan PKR dalam kejadian Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan kerajaan PH di peringkat pusat dan beberapa negeri lain.
Sejak itu Azmin menyertai Bersatu dan menjadi sebahagian daripada ahli majlis pimpinan tertinggi parti berkenaan.
Pada 19 Nov ini dia dijangka mempertahankan kerusi Gombak dan bakal dicabar calon PH, Amirudin Shari dari PKR, yang juga merupakan menteri besar Selangor.
Amirudin dikenali sebagai bekas anak didik Azmin ketika kedua-duanya berada dalam PKR.
Di pihak BN, Megat Zulkarnain dikatakan antara nama yang dipertimbangkan oleh Umno untuk dicalonkan bagi mencabar Azmin di Gombak.

Walaupun enggan mengulas mengenai siapa yang akan diturunkan Umno di Gombak, Megat Zulkarnain berkata, parti itu berharap rakyat memilih BN berdasarkan khidmat mereka kepada orang ramai.
BN juga, katanya, percaya ada peluang lebih baik untuk Umno dan BN di kerusi itu kali ini memandangkan Azmin sendiri berdepan dengan cabaran bekas partinya dan tidak lagi memiliki dukungan penyokong PH.
Pada masa sama, katanya, Umno Gombak yakin 26,000 undi daripada penyokong mereka pada 2018 akan kekal dalam "bakul BN".
"Dalam keadaan paling teruk pun (pada 2018) Umno Gombak masih dapat 26,000 undi, ia tidak boleh jadi lebih teruk daripada itu. Tak ada lagi PRU yang lebih buruk daripada (2018) itu," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/12/38fd0f13ee254728032e2250ddddeb42.jpg)
