Banjir di Alor Gajah, Bintulu makin pulih
Banjir di Daerah Alor Gajah, Melaka semakin pulih apabila hanya lima mangsa daripada sebuah keluarga yang masih berada pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 8 pagi ini.
Menurut Bernama, sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di PPS Balai Raya
Kampung Belimbing membabitkan penduduk dari Kampung Pulau dan Kampung Belimbing.
Sementara itu Bernama melaporkan keadaan banjir di Bintulu, bandar yang terletak 620km utara dari Kuching terus beransur pulih dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Stadium Muhibbah, menurun kepada 38 orang setakat 8.00 pagi tadi, berbanding 50 orang semalam.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak dalam laporan hariannya memaklumkan 12 mangsa telah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing malam tadi,sementara mangsa yang masih kekal terdiri daripada lapan keluarga membabitkan penduduk Kampung Kemunting dan Bukit Orang.
Banjir yang mulai melanda bandar itu sejak Isnin lepas susulan hujan lebat telah menenggelamkan beberapa kawasan rendah, mengakibatkan 77 mangsa dari 25 keluarga berlindung di PPS Dewan Suarah Bintulu.
Bagaimanapun, PPS berkenaan telah dipindahkan ke Stadium Muhibbah semalam ekoran Dewan Suarah Bintulu akan digunakan untuk proses persiapan bagi hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-15.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/01/ccb48668f00bcda2ccc47ac9cf5f57a7.jpg)
