PAS tetap buka pintu kerjasama dengan DAP
PAS tetap membuka pintu kepada DAP untuk menjalinkan kerjasama bagi membentuk pakatan pembangkang, terutama dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
PAS tetap membuka pintu kepada DAP untuk menjalinkan kerjasama bagi membentuk pakatan pembangkang, terutama dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Ketika menegaskan demikian, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tidak ada sebab bagi DAP menolak hubungan kerjasama dengan PAS.
Sehingga hari ini, kata Menteri Besar Kelantan itu, PAS tetap membuka pintu kepada DAP untuk menjalinkan hubungan, seterusnya dapat bersama-sama pembangkang yang lain untuk tujuan itu.
"Tidak ada sebab DAP nak tolak (kerjasama) dengan PAS dan kami tetap terima DAP sejak dulu lagi," katanya.
Menurut laporan Bernama, Nik Aziz memberitahu pemberita selepas menerima kunjungan hormat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Bharu, hari ini.
PAS dan PKR adalah anggota Barisan Alternatif (BA). DAP pula keluar dari BA pada 2001 kerana tidak sehaluan dengan matlamat PAS untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam.
Menurut Nik Aziz lagi, PAS tidak akan menggunakan pengaruh rakan sekutunya, PKR, untuk berbincang dengan DAP, agar bersetuju untuk bekerjasama dengan PAS semula.
"Tak payah arahlah untuk nak masuk (kerjasama), PAS jelas dari dulu lagi, kita mahu bekerjasama tapi dah dia (DAP) tak mau, nak buat macam mana?" tambahnya.
Sementara itu Anwar berkata PKR yakin DAP akan bersetuju untuk berkompromi dengan semua pakatan parti pembangkang bagi menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan aya akan datang.

