Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: Saya mahu Sivarasa di Sg Buloh tapi Anwar berbeza pandangan

PRU15 | Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata dia dan jawatankuasa pemilihan calon parti itu pada mulanya mencadangkan agar penyandang ahli parlimen R Sivarasa mempertahankan kerusi Sungai Buloh pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, katanya Presiden PKR Anwar Ibrahim mempunyai pendapat berbeza.

"Memang ada perbezaan pendapat di antara jawatan kuasa calon dan saya dengan pandangan presiden, kerana saya boleh umum terus bahawa saya dan jawatankuasa calon mencadangkan supaya Sivarasa dikekalkan tetapi presiden parti ada pandangan berbeza.

“Saya hormati pandangan dan budi bicara tersebut kerana memang kuasa letak calon ialah bidang kuasa presiden dalam mana-mana parti pun. Bezanya dalam PKR, proses itu berjalan, ” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR di hari ini.

PKR sebelum ini mengumumkan akan meletakkan timbalan ketua penerangannya, R Ramanan di kerusi parlimen Sungai Buloh.

Ramanan merupakan Bendahari Agung MIC sebelum meletakkan jawatan pada 2014 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkannya memulangkan RM5.5 juta yang diperolehnya melalui penipuan.

Pada masa itu, Ramanan dilapor berkata dia merayu keputusan itu dan bersedia membayar jumlah itu kepada plaintif.

Pada Jun 2014, Ramanan menggugurkan rayuannya terhadap keputusan mahkamah tersebut dan memasukkan penghakiman persetujuan dengan plaintif di mana dia bersetuju untuk membayar RM5.5 juta itu.

Pengumuman Ramanan sebagai calon PKR di Sungai Buloh menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ahlinya yang mendesak supaya Sivarasa dikekalkan atau calon lain dipilih, terutama selepas BN mengumumkan Khairy Jamaluddin sebagai calon mereka di kawasan itu.

Rafizi berkata, selepas mempertimbangkan maklum balas yang diterima, PKR membuat keputusan untuk mengekalkan Ramanan sebagai calon di Sungai Buloh.

"Kalau mengikut kepada maklum balas awal daripada pengundi, memang ada feedback supaya dipertimbangkan calon tetapi saya menghormati keputusan presiden yang merasakan bahawa lebih baik dikekalkan calon supaya kempen yang sedang berjalan ini boleh diteruskan," katanya.

Rafizi berkata, setakat yang diketahuinya, proses dalaman parti dalam meneliti dan membuat semakan terhadap calon sudah berakhir.

“Saya perlu mengimbangi antara cuba menguruskan maklum balas serta proses dalaman, dengan fakta bahawa keputusan muktamad di tangan Anwar dan dia telah mengemukakan pandangannya.

"Saya fikir kita harus bergerak sebagai sebuah parti dan memberi tumpuan kepada gambaran keseluruhan kempen," katanya.

Lihat Komen
ADS