PRU15 | Semua calon PKR pada pilihan raya umum 19 November ini diminta mengisytiharkan harta secara terbuka bagi memuihkan kepercayaan pengundi terhadap wakil rakyat daripada parti itu, kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Sehubungan dengan itu, Rafizi berharap parti politik lain akan mengikut jejak langkah yang sama dalam mewajibkan calon mereka mengisytiharkan harta.
"Di mata rakyat, tidak ada alasan untuk tidak mengisytiharkan harta. Jika kamu tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, ia sebenarnya mudah dilakukan.
“Jika kamu ada masalah isytiharkan aset kamu, kamu tak boleh salahkan orang ramai kerana curiga atau sinis.
“Pandangan kami dalam PKR ialah pisytihar aset amat penting bagi kami dalam menangani perasaan sinis di kalangan pengundi, khususnya pengundi muda,” kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Menurutnya, salah satu cara untuk menggalakkan peratusan keluar mengundi yang tinggi terutamanya dalam kalangan pengundi muda, adalah dengan calon mengisytiharkan harta mereka.
“Mudah-mudahan ini akan meyakinkan seramai mungkin bahawa masih ada harapan di negara ini, bahawa anda tidak perlu bersikap sinis terhadap ahli politik, seteruk yang pernah berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Tambahnya pengisytiharan aset membantu meningkatkan keyakinan pengundi bahawa kali ini, terdapat calon yang mempunyai integriti tinggi dan latar belakang profesional yang sanggup diawasi orang ramai.
Rafizi semalam mengisytiharkan harta dan aset yang dimilikinya sebelum bertanding di kawasan parlimen Pandan.
Dia berkata pengisytiharan aset bagi semua calon PKR akan disenaraikan di www.calonkeadilan.org tidak lama lagi.
Menurutnya lagi, mereka sedang menyelesaikan proses mengumpul pengisytiharan aset bagi semua calon dan ia perlu dilakukan dalam tempoh satu atau dua hari lagi.
