Khairy Jamaluddin sepatutnya membuat penambahbaikan di Hospital Sungai Buloh dalam masa 12 bulan selaku menteri kesihatan, kata bakal calon Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi parlimen Sungai Buloh, R Ramanan.

Tegas Ramanan, Khairy tidak seharusnya hanya membuat janji selepas dijadikan sebagai calon BN di parlimen itu.

"Khairy ini, hari ini kita lihat dia buat video pasal Hospital Sungai Buloh, berjanji akan membuat penambahbaikan di hospital itu. Apa yang dia politik ini? Apa yang dia cuba tipu?

“Ketika pandemik Covid-19, kita tahu apa yang berlaku kepada Hospital Sungai Buloh, barisan hadapan berapa kesusahan (perlu dihadapai) dan kena derita.

"Berapa kali dia turun ke Hospital Sungai Buloh ketika pandemik dan selepas endemik? Dia tahu kesusahan Hospital Sungai Buloh, adakah dia buat penambahan baik masa itu? Tengok keadaan hospital itu betapa teruk,” katanya menyifatkan Khairy sebagai cuba meraih undi.

Ramanan berkata demikian ketika mengulas video Khairy berdurasi sekitar tiga minit di media sosial miliknya bagi menjawab persoalan pencalonannya di Sungai Buloh.

Dalam video itu, Khairy yang juga penyandang parlimen Rembau berkata BN perlu berani menawarkan khidmat di kawasan bandar jika mahu berubah ke arah yang lebih baik.

Khairy turut berjanji jika menang, akan berusaha membawa penambahbaikan yang besar kepada Hospital Sungai Buloh.

Bagaimanapun, Ramanan berkata bahawa dia percaya pengundi Sungai Buloh tidak akan tertipu dengan janji-janji manis Khairy.

"Bagi, saya Khairy seorang yang tidak ada prinsip. Ketika Najib (Razak) jadi perdana menteri dia sokong, sebelum beralih sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad.

"Ketika zaman Muhyiddin Yassin, dia mempertahankan habis-habisan bekas perdana menteri itu dan kini membuat ceramah bahawa Ismail Sabri perdana menteri terbaik untuk Malaysia.

"Mungkin Khairy lupa kata-kata sombong dan perangai angkuh dia, tapi rakyat tidak akan lupa," katanya.

Untuk rekod, Sungai Buloh merupakan kubu kuat PH selama tiga penggal sejak 2008.

Kali ini, PH menggantikan penyandangnya R Sivarasah dengan Ramanan. Sementara Khairy bertanding atas tiket BN di parlimen itu yang merupakan kerusi tradisi MIC.