PN Johor sahkan tiada pertukaran calon termasuk kerusi Pulai
Perikatan Nasional (PN) Johor hari ini mengesahkan tiada perbincangan mengenai pertukaran mana-mana calon termasuk calon kerusi parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PN Negeri Johor Rasman Ithnain.
Beliau berkata setakat ini perbincangan antara parti komponen dalam PN mengenai pemilihan calon berjalan lancar tanpa ada selisih faham atau kecil hati.
“Setakat hari ini, PN tak dengar pun ada pertukaran. Kita pun baru dengar (berita ini). Memang tiada perbincangan. Itu hanya khabar angin, (saya rasa) cuma provokasi (pihak lain).
“Setakat ini, nama yang ada di tangan saya, (masih) nama Deepak (Jaikishan Rewachand) (untuk kerusi Pulai),” katanya kepada pemberita di Bilik Gerakan Utama PN Negeri Johor hari ini.
Rasman berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris semalam, yang memetik Pengerusi Gerakan Johor Teo Kok Chee sebagai berkata Presiden Gerakan Dominic Lau menamakan calon lain untuk bertanding di kerusi Parlimen Pulai atas tiket Gerakan.
Menurut Teo keputusan menukar calon berkenaan dibuat selepas pengumuman oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dua hari lepas.
Mengenai sama ada terdapat calon daripada parti lain yang cuba memancing kerusi menerusi PN seperti berlaku di Perlis, Rasman berkata sebarang keputusan akan diserahkan di peringkat pusat.
PN Perlis dilaporkan mengesahkan memberi laluan kepada penyandang kerusi Arau Shahidan Kassim untuk mewakili gabungan tersebut di Parlimen itu pada PRU15.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/01/1e4d45c3bbd05d86c2323f0ba0f864d4.jpg)
