Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin umum aku janji perangi rasuah PN
Diterbitkan:  Nov 3, 2022 9:24 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Perikatan Nasional (PN) menggunakan pendekatan antirasuah untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

"Perjuangan saya melawan rasuah ini telah dibuktikan melalui sejarah panjang saya. Saya dibuang daripada jawatan timbalan perdana menteri kerana saya berjuang melawan golongan yang menyalahgunakan kuasa demi poket sendiri.

"Menjadi impian saya melihat Malaysia dikemudi oleh barisan kepimpinan yang bebas daripada jenayah rasuah, penyelewangan dan salah guna kuasa," kata bekas perdana menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Muhyiddin dipecat daripada Umno pada 2016 oleh presiden parti ketika itu Najib Razak kerana lantang menentang skandal 1MDB.

Selain Muhyiddin, yang ketika itu timbalan presiden parti, Mukhriz Mahathir turut dipecat manakala naib presiden ketika itu Mohd Shafie Apdal, digantung tugas.

Jelas Muhyiddin, ikrar berjuang melawan rasuah itu seperti dicatatkan dalam "Aku Janji Integriti Calon Perikatan Nasional".

Antara ikrar yang terkandung dalam dokumen itu ialah sekiranya mereka (pemimpin PN) memenangi pilihan raya dan dipilih sebagai ahli parlimen atau Adun, mereka akan mematuhi semua langkah pencegahan rasuah semasa menjalankan tugas masing-masing.

Perkara kedua mengatakan bahawa pemimpin PN akan menolak segala bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, dan bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memerangi rasuah.

“Kami beraku janji untuk tidak terlibat dalam sebarang bentuk rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa, secara langsung dan tidak langsung, dan sentiasa memelihara integriti peribadi kami, serta parti masing-masing, dan PN.

“Kami juga akan segera melaporkan kepada SPRM sebarang bentuk rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa yang diketahui kami, atau melibatkan kakitangan di bawah seliaan kami,” kata ikrar itu.

Kata Muhyiddin, PN berharap dapat menawarkan kerajaan yang bersih, stabil dan prihatin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS