Barisan Nasional (BN) akan bertanding di kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan meletakkan bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Benedict Asmat sebagai calon.

Beliau bakal menggantikan penyandang selama lima penggal iaitu Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan malam tadi turut mengumumkan calon baharu bagi kerusi Parlimen Kalabakan iaitu Pembantu Menteri Belia dan Sukan negeri Andi Muhammad Suryady Bandy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu.

Pada Rabu, Bung Moktar menamakan Ketua Pemuda Umno Kalabakan Aslan Fadli Samsul Alang sebagai calon Parlimen Kalabakan, sebelum menamakan calon baharu malam tadi.

“BN Sabah yakin kedua-dua calon yang berlatarkan pendidikan tinggi, berkelayakan profesional serta bersedia berkhidmat mampu menggalas amanah mewakili kepentingan rakyat apabila dipilih kelak,” katanya.

Benedict adalah anak jati Beluran berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Antropologi dan Sosiologi (Kepujian) Universiti Malaya dan pernah memegang jawatan penting antaranya Penolong Pegawai Daerah Beluran pada 1991-2010, juga kini Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah.

Sementara itu, Andi Muhammad Suryady anak jati Kalabakan, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam daripada Universiti Teknologi Malaysia dan pernah bertugas sebagai jurutera di beberapa syarikat kejuruteraan terkemuka negara sebelum berkecimpung dalam dunia perniagaan.

- Bernama