Jamal: Teresa terdesak cuba halang saya bertanding
Calon BN bagi kerusi parlimen Sungai Besar Jamal Yunos menyifatkan penyandang parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai terdesak kerana mempertikaikan kelayakannya sebagai calon.
Kok sebelum ini mempertikaikan kelayakanJamal bertanding pilihan raya, dengan alasan bahawa ketua Umno Sungai Besar itu gagal membayar ganti rugi sebanyak RM351,479.45 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada Julai lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Jamal berkata, notis kebankrapan terhadapnya yang difailkan Kok baru sahaja bermula dan ia dicabar di mahkamah oleh peguamnya.
"Untuk pengetahuan umum, dakwaan Teresa Kok adalah tidak tepat juga mengelirukan di mana melalui Akta Insolvensi 1967 seperti yang dinasihatkan oleh peguamcara saya Rejinder Singh, beliau menyatakan yang saya masih belum dibuat sebarang perintah kebankrapan dan di mana sehingga satu perintah kebankrapan dibuat dan semua rayuan saya gagal barulah saya hilang peluang untuk bertanding.
"Selagi perintah kebankrapan tidak dibuat maka saya layak untuk bertanding di pilihan raya ini.
"Ketika ini, saya sedang merayu ke Mahkamah Rayuan Malaysia berkenaan ganti rugi yang diperolehi Teresa Kok melalui penghakiman Mahkamah Tinggi bertarikh.
"Saya percaya rayuan saya tersebut adalah bermerit dan ganti rugi yang dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi tersebut kelak akan diketepikan setelah rayuan saya didengar," katanya.
Kenyataan Jamal dibuat selepas Kok menulis surat kepada Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh, menggesa suruhanjaya itu melucutkan kelayakan Jamal daripada bertanding pada PRU15 kerana mempunyai prosiding muflis yang sedang berjalan.
"Saya menegaskan di sini tindakan Teresa Kok adalah satu perbuatan terdesak beliau sebagai cubaan untuk mengagalkan saya dari menjadi calon pilihan raya walaupun faktanya amat jelas yang saya belum lagi dikenakan sebarang perintah kebankrapan selaras dengan Akta Insolvensi 1967.
"Justeru saya menyanggah dengan tegasnya dakwaan Teresa Kok ini bahawa prosiding kebankrapan telah pun bermula pada 30 Ogos, ini kerana pengurusan kes pertama prosiding kebankrapan hanya bermula dan dijalankan pada 30 Nov di mana peguam cara saya akan mencabar tindakan kebankrapan ini," kata Jamal.
Pada 26 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Jamal membayar RM300,000 kepada Kok sebagai ganti rugi berhubung ucapan yang dibuat pada 2017, di mana dia menuduh pemimpind DAP itu menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).
Menurut Perkara 48(1) Perlembagaan Persekutuan, seseorang individu hilang kelayakan untuk menjadi ahli parlimen jika dia bankrap atau banduan yang telah menjalani hukuman penjara lebih satu tahun atau didenda lebih RM2,000 dan belum mendapat pengampunan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/09/e2b2325614d486ebc045d9ba170d37ad.jpg)
