Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakatan BN-GRS retak: Ronald lawan Benedict di Beluran
Diterbitkan:  Nov 5, 2022 1:45 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menawarkan diri untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Tindakan penyandang kerusi selama lima penggal sejak 1999, menyebabkan pertembungan dengan calon Barisan Nasional (BN), yang menjalin kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam mentadbir Kerajaan Sabah, iaitu bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Benedict Asmat.

Ronald berkata Bersatu masih parti komponen GRS di Sabah, namun di peringkat nasional, Bersatu dan dua parti komponen GRS iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (Star) serta Parti Progresif Sabah (SAPP) adalah komponen PN.

"Saya bertanding atas tiket PN, parti (gabungan) dianggotai beberapa buah parti peringkat nasional juga negeri dan platform (PN) ini merupakan platform terbaik bagi mengangkat aspirasi Beluran di peringkat nasional,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon PRU15 Parlimen Beluran di Dewan Serbaguna Beluran di sini hari ini.

Ronald berkata agenda besar yang perlu diangkat di kawasan Parlimen itu adalah pembangunan berterusan dan mengangkat masalah infrastruktur yang kekurangan dan jurang peruntukan luar bandar kepada Beluran.

GRS yang dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR, SAPP dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), menjalin kerjasama dengan BN dianggotai Umno, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi membentuk kerajaan Sabah.

Sementara itu, Benedict berkata beliau mengambil peluang bertanding bagi merebut kerusi Beluran kerana berpendapat masih banyak yang perlu dibangunkan dan dibaiki, terutama daripada aspek infrastruktur.

"Saya rasa, secara peribadi, saya boleh bekerja, saya boleh buat semua itu atas kapasiti saya sebagai penjawat awam yang berpengalaman dalam pentadbiran dan dapat membuat yang lebih baik daripada yang telah dibuat sebelum ini," katanya.

Benedict mengakui wakil rakyat terdahulu telah sedaya upaya melaksanakan usaha pembangunan di Beluran, namun masih ada usaha yang perlu diteruskan dan ditingkatkan.

Kerusi Parlimen Beluran menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan calon lain ialah Rowiena Rasid daripada Parti Warisan (Warisan), Hausing Samsudin @ Sudin (Pejuang) dan Felix Joseph Saang daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) mewakili Pakatan Harapan.

Pada PRU14, Ronald, yang ketika itu daripada Umno mewakili BN menang dengan majoriti 7,115 undi, namun beliau bertindak keluar parti dan menyertai Bersatu pada 2019.

- Bernama

Lihat Komen
ADS