Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Ketereh Marzuani Ardila Ariffin memaklumkan Tan Sri Annuar Musa berjanji tidak akan meninggalkannya sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Marzuani Ardila berkata Annuar yang juga penyandang kerusi Parlimen Ketereh bersama jentera parti sentiasa memberi sokongan kepadanya dalam berjuang menghadapi pilihan raya umum ini.
"Tan Sri Annuar Musa telah berjanji dengan saya bahawa beliau tidak akan tinggalkan saya kerana mahu pastikan Parlimen ini kekal milik BN.
"Insya-Allah saya ada strategi sendiri yang sudah diatur untuk digunakan sepanjang tempoh berkempen," kata Ketua Puteri UMNO Kelantan itu kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi Parlimen Ketereh di Kota Bharu hari ini.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Ketereh Mohd Anis Hussein mengumumkan pertembungan empat penjuru di kawasan itu membabitkan Marzuani Ardila (BN), Haneef Ibrahim (Putra), Mejar Jen (B) Datuk Khlir Mohd Nor (PAS) dan Rahimi L. Muhamud (PH).
Pada PRU14, Annuar memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,626 undi menewaskan pencabarnya daripada PAS dan PKR.
Sementara itu, calon PAS, Khlir berkata beliau akan menggunakan kaedah berkempen dari rumah ke rumah yang dianggap lebih berkesan dalam usaha meraih undi warga Ketereh berbanding berhimpun beramai-ramai.
- Bernama
