PRU15 | Pencalonan dua bekas pemimpin PAS untuk mewakili BN menunjukkan Umno tidak pernah menolak Muafakat Nasional (MN), kata bekas menteri besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman.

Sebaliknya, menurut Adun Seberang Takir itu lagi, ruang yang diberikan buat Khairuddin Aman Razali dan Che Abdullah Mat Nawi untuk mewakili BN masing-masing di Kuala Nerus dan Tumpat memperlihatkan jiwa besar Umno-BN.

"Kita (Umno) telah membuktikan dan menunjukkan jiwa besar BN apabila memberi peluang dan ruang (kepada bekas pemimpin PAS untuk bertanding atas tiket BN), kerana ada agenda besar yang perlu kita sokong.

"Saya yakin dengan keputusan yang dibuat ini ia dapat membuktikan kepada orang ramai dan penyokong PAS bahawa bukan BN yang menolak MN, sebaliknya BN sentiasa menyokong dan mengalu-alukan (MN).

"Ini dibuktikan dengan dua calon daripada PAS iaitu calon di Tumpat dan Kuala Nerus," katanya kepada pemberita di Kuala Nerus, hari ini.

Ahmad Razif berkata demikian ketika diminta mengulas pencalonan Khairuddin yang juga bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Pusat di Kuala Nerus atas tiket BN.

Berdasarkan sejarah, Terengganu merupakan antara lokasi perseteruan paling hangat apabila membabitkan Umno dan PAS. Antara lain insiden 'Amanat Haji Hadi' dan perpecahan masyarakat setempat akibat perbezaan politik berlaku di negeri tersebut.

Kerusi parlimen Kuala Nerus menjadi perhatian yang lebih selepas Khairuddin kini bertanding sebagai calon BN.

Hadiah buat BN

Sebagai ganti kepada Khairuddin, PAS dan PN meletakkan exco Terengganu yang juga Adun Bukit Tunggal, Alias Razak, untuk bertanding di situ.

Sebelum ini, Ahmad Razif dan Ketua Umno Kuala Nerus, Apli Yusoff antara nama yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai calon BN di kerusi tersebut.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata adalah menjadi harapannya untuk ahli dan penyokong PAS membuka mata dan memberikan undi mereka kepada Khairuddin.

"Kami berharap ini dapat membuka mata penyokong PAS. Walaupun mereka tetap penyokong PAS, tapi dalam PRU ini mereka wajib mengundi calon BN," katanya.

Che Abdullah Mat Nawi

Mengulas isu akar umbi parti terguris hati dengan pencalonan Khairuddin, Ahmad Razif berkata perkara itu sudah ditangani dengan baik oleh Apli.

"Apli telah mengadakan perjumpaan dengan semua jentera BN dan saya nampak mereka sangat bersemangat dan ia dapat dibuktikan dengan kehadiran mereka hari ini (semasa penamaan calon).

"Walaupun dalam keadaan hujan mereka datang dalam keadaan penuh semangat hari ini. Saya yakin ini juga merupakan peluang terbaik untuk BN mengambil semula kerusi Kuala Nerus," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata dia juga yakin ramai ahli parti dan penyokong PAS tidak begitu senang dengan pencalon Alias, sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

"Yakin satu kerusi ini (Kuala Nerus) akan dihadiahkan kepada BN," tambahnya.

Pada PRU14, Khairuddin mengekalkan kemenangannya di dengan memperoleh 37,974 undi, menewaskan calon BN, Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang mendapat 29,527 undi dan calon Abdullah Muhammad (PH) yang mendapat 4,604 undi.

Dia bagaimanapun menggemparkan politik negara setelah mengumumkan berhenti menjadi ahli Pas pada Mac lalu.

Kali ini selain Alias, Khairuddin dicabar Suhaimi Hashim (PH) dan Azaha Wahid (Pejuang-GTA).