Saya bawa legasi pemikiran Tok Guru- Nik Omar
PAS kehilangan seorang pemimpin paling berpengaruh dalam sejarah politik tanah air iaitu Mursyidul Am, Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari 2015.
Selain menjadi menteri besar Kelantan selama 23 tahun (1990-2013), pada tahun 2009, dia merupakan antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia dan disenaraikan dalam buku berjudul ‘The 500 Most Influential Muslims.’
Persoalannya, kini siapakah yang akan menyambung legasi Nik Aziz yang lebih mesra dipanggil sebagai Tok Guru.
Bertanding di parlimen Pasir Salak pada PRU15 di bawah tiket Pakatan Harapan (PH) Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata bahawa dia sedia membawa legasi pemikiran ayahnya.
Anak kedua kepada pasangan Tok Guru dan Tuan Sabariah Tuan Ishak, bekas Yang di-Pertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berusia 57 itu berkata bahawa dirinya lebih berminat membawa legasi pemikiran Tok guru.
"Apa itu legasi, ia bukan sekadar perwatakan. Tetapi, lebih kepada pemikiran atau visi. Apa pemikiran Tok Guru?
"Kalau kita ikut perkembangan perjalanan Tok Guru antara yang dia sebut secara terbuka dia harap supaya pengundi Malaysia boleh menerima dan boleh beri sokongan sepenuhnya kepada satu kerajaan yang tidak rasuah.
"Jadi, tidak ada calon paling layak untuk mengemudi dari sudut ekonomi dan kewangan kecuali Anwar Ibrahim dan ayahanda Tok Guru secara terbuka berdoa dan diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia.
"Jadi, itu yang ertinya saya bawa legasi pemikiran Tok Guru. Itu yang ambo perjuangkan sekarang ini," katanya kepada Malaysiakini.
Menurutnya, dia tidak sesekali akan mencemarkan nama baik Tok Guru yang pernah menganugerahkan sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.
Pada tahun 2008, Gerakan Rakyat Anti Korupsi (Gerak) telah menganugerahkan Nik Aziz sebagai Menteri Besar yang memiliki rekod paling bersih di Malaysia.
Anugerah itu diberikan sebagai menghargai usaha beliau menentang gejala rasuah sepanjang mentadbir Kelantan selama hampir 18 tahun.
Nik Omar kini bersama PKR bertanding di Pasir Salak dalam persaingan empat penjuru antara Zairol Hizam Zakaria (Pejuang), Ustaz Jamaludin Yahya (PN) dan Khairul Azwan Harun (BN).
Pasir Salak terkenal sebagai lokasi pembunuhan pegawai kolonial British James W W Birch, kerusi itu mungkin menyaksikan orang lain 'ditikam' dari belakang kali ini.
BN telah memecat penyandangnya Tajuddin Abdul Rahman yang memegang kerusi itu selama tiga penggal.
Calon baru mereka, bekas naib ketua Pemuda Umno Khairul- lebih dikenali sebagai Azwan Bro - pada mulanya tidak mendapat sokongan ahli Umno bahagian itu.
Bagaimanapun, Tajuddin nampaknya meredakan kemarahan mereka dan kini menyokong penggantinya.
Tajuddin menang kerusi itu pada 2018 dengan majoriti 7,712 undi.
Ketika bertanya, Nik Omar berkata bahawa lebih selesa bertanding di luar Kelantan.
"Sebagaimana ambo sebut tadi, mungkin sebagai menghormati situasi sebahagian keluarga tidak setuju sebab itu ambo lebih selesa bertanding di luar Kelantan.
"Cuma kalau ada di kalangan orang lain dan juga keluarga yang mengatakan ambo tidak bawa legasi Tok Guru, tidak ada masalah
"Kita kenal antara satu sama lain kita tak nak berbalah di sudut isu itu. Yang saya tekankan, yang kita bincang apabila kita terlibat dengan politik kita bincang isu negara kita tidak bincang isu peribadi atau keluarga.
"Isu negara, semua orang boleh setuju bahawa Tok Guru secara jelas beri sokongan dan berdoa kepada PH. Sekarang ini Tok Guru dah meninggal dunia dia tidak dapat melihat situasi hari ini," katanya.
Nik Omar sebelum ini bertanding di DUN Chempaka pada PRU14 kalah kepada calon PAS dalam persaingan tiga penjuru.
Kerusi DUN Chempaka di Kelantan merupakan kerusi dimenangi oleh Nik Aziz selama lima penggal sejak 1995.
Nik Omar merupakan bekas ahli Amanah iaitu parti serpihan daripada PAS.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/a67b83e370301429c1d06d1eaf2f6144.jpg)
