Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menyeru calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Puchong Yeo Bee Yin untuk menjelaskan bagaimana dia akan mengimbangi hubungannya dengan IOI Group Bhd dengan kepentingan awam, walaupun syarikat itu tidak mempunyai hartanah di dalam sempadan kawasan pilihan raya berkenaan.
Ini selepas Yeo mengecam C4 kerana membangkitkan isu itu, walaupun projek pembangunan hartanah IOI terletak di kawasan pilihan raya yang berdekatan.
C4 sebelum ini mempersoalkan risiko "konflik kepentingan" kerana Yeo berkahwin dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) IOI Properties Group Bhd (IOIPGB) Lee Yeow Seng, yang merupakan anak kepada pengasas IOI Group Bhd.
Dalam satu kenyataan untuk menjawab sanggahan Yeo, C4 berkata analisisnya adalah berdasarkan sempadan sebelum pelaksanaan persempadanan semula 2018, yang meletakkan projek pembangunan berkenaan di luar sempadan pilihan raya Puchong.
"Bagaimanapun, kami tetap bimbang dengan hakikat bahawa walaupun kepentingan IOIPGB mungkin tidak termasuk dalam kawasan Puchong, syarikat ini sangat ketara di kawasan pilihan raya berhampiran dan di bahagian lain di Lembah Klang," katanya.
C4 berkata ini adalah satu isu kerana ia boleh menjejaskan cara seseorang ahli parlimen akan mengundi di parlimen, dan sama ada seorang ahli parlimen akan melayani kepentingan rakyat atau syarikat yang dikaitkan dengan mereka.
Ia juga boleh menjejaskan cara ahli parlimen membahaskan belanjawan negara atau dasar mengenai bidang yang memberi kesan kepada syarikat yang dikaitkan dengan mereka.
Katanya, ini termasuk cara mengawal selia kesan pembangunan hartanah terhadap alam sekitar atau perubahan kepada gaji minimum dan faedah sosial untuk pekerja.
Ini adalah perkara yang diketengahkan dalam laporan C4 yang diterbitkan baru-baru ini tentang perhubungan perniagaan dan politik.
"Walaupun kami tidak bermaksud memudaratkan Yeo, kami ingin menjemput Yeo untuk menawarkan maklum balas kepada perkara-perkara kepentingan awam ini dan terlibat dalam dialog terbuka berkaitan hubungannya dengan IOI Group Bhd.
"Akhirnya, parti-parti politik mesti sentiasa berwaspada dalam memastikan bahawa keadaan yang menimbulkan perluasan hubungan perniagaan-politik adalah terhad, terutamanya jika parti-parti tersebut berkempen dalam agenda antirasuah dan pembaharuan," kata C4 dalam kenyataannya.
Terdahulu Yeo menyatakan bahawa pembangunan hartanah yang disorot oleh C4 adalah di kawasan Subang, maka isu konflik kepentingan tidak timbul.
“Di Malaysia, nama kawasan pilihan raya dan kawasan yang diliputinya kadangkala tidak sama.
"Sebuah NGO, yang berhasrat untuk membangkitkan isu rasuah di peringkat antarabangsa harus melakukan usaha wajar (due diligence) yang sewajarnya, supaya tidak merosakkan kredibilitinya sendiri," katanya.
Rakan sejawat partinya, Adun Kinrara Ng Sze Han juga menegaskan bahawa pembangunan IOI City Mall dan Sierra 16 berada di kawasan parlimen Sepang.
“Oleh itu, tiada satu pun pembangunan hartanah IOI wujud di kawasan parlimen Puchong sehingga kini,” katanya.
Ini adalah kali kedua Yeo bertanding di kawasan parlimen.
Pada 2018, dia dipilih sebagai ahli parlimen Bakri, di Johor, dan berkhidmat sebagai menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim dalam kerajaan PH.
Kerusi campuran Puchong adalah kubu kuat PH dengan pengerusi DAP Selangor berkhidmat sebagai ahli parlimen di kawasan itu sejak 2013.
Pada 2018, Gobind menang dengan majoriti besar 47,635 undi.
Pada PRU kali ini, Yeo akan menentang Syed Ibrahim Kader dari BN, Geng Chew Jyh Gerakan dan calon bebas Kuan Chee Heng.
Pada 2018, pengundi Puchong terdiri daripada 37 peratus Melayu, 52 peratus Cina, 10 peratus India dan satu peratus etnik lain.
