71 kakitangan DBP diberi surat tunjuk sebab
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 71 kakitangannya yang menyertai piket membantah pelantikan Timbalan Ketua Pengarah DBP yang baru.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada 71 kakitangannya yang menyertai piket membantah pelantikan Timbalan Ketua Pengarah DBP yang baru.
Ekoran itu, Kesatuan Pekerja DBP telah menemui peguam untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.
Yang Dipertuanya, Hasni Abas berkata, sebelum ini, pihaknya telah merujuk cadangan mengadakan piket itu kepada Kementerian Sumber Manusia yang mengesahkan mereka berhak berbuat demikian.
Katanya, pihak kementerian itu juga berjanji akan menjalan siasatan terhadap DBP berhubung isu pelantikan tersebut.
Hasni berkata, mereka yang diberi surat tersebut terdiri daripada ahli kesatuan tersebut yang menyertai piket yang diadakan selama empat hari berturut-turut dari 12 hingga 15 Februari lalu.
Katanya lagi, surat tunjuk sebab itu yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Firdaus Abdullah (foto) menyatakan tindakan mereka berpiket itu telah menjatuhkan nama baik dan memalukan DBP.
Bukan ahli sastera
Hasni berkata, mereka menerima surat tunjuk sebab itu Isnin lalu dan diberi tempoh 14 hari untuk menjawab mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap mereka.
Isu perlantikan Kamaruzaman Shaharudin sebagai timbalan ketua pengarah baru DBP dibantah keras oleh kesatuan kakitangannya yang mendakwa ia tidak dibuat mengikut peraturan.
Kamarulzaman dilantik menggantikan Abu Bakar Mohamad yang bersara pada awal Januari lalu.
Hasni berkata, Kamarulzaman merupakan kakitangan Kumpulan N, iaitu dari bahagian pentadbiran dan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kesusasteraan dan penulisan.
"Sedangkan syarat untuk menjadi ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah DBP ialah mesti dari Kumpulan S, iaitu dari bahagian kesusasteraan," katanya..
Menurutnya lagi, beliau telah meminta kakitangan terbabit supaya menjawabnya dalam tempoh 14 hari dan pihak kesatuan juga telah membatalkan rancangannya untuk mengadakan piket seterusnya.
Boleh dipecat
"Menurut surat itu, kakitangan yang menyertai piket tersebut boleh diambil tindakan di bawah Akta Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) yang boleh dikenakan tindakan disiplin termasuk pemecatan," katanya.
Hasni berkata, pelantikan Kamarulzaman dibuat oleh Dr Firdaus setelah dicadangkan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Johan Jaafar (foto).
Pada tarikh sama, katanya, kesatuan telah menghantar surat bantahan kepada Dr Firdaus dan Johan pada 16 Januari lalu.
Kesatuan juga, kata Hasni, meminta untuk mengadakan perbincangan kepada kedua-duanya, tetapi tidak mendapat jawaban yang memuaskan.
Katanya, pada 16 Februari lalu, Firdaus menjawab surat tersebut dengan mengatakan beliau tidak boleh mengubah lagi keputusan pelantikan Kamarulzaman.

