Perbicaraan kes bunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu dipercepatkan ke 4 Jun depan dan akan berlangsung sehingga 29 Jun depan, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Sebelum ini, tarikh perbicaraan itu ditetapkan oleh Hakim K N Segara pada 10 Mac tahun depan.

Kes tersebut membabitkan penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang dituduh bersubahat dengan dua anggota polis C/Insp Azilah Hadri, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35 yang dituduh membunuh model berusia 28 tahun itu, yang cebisan mayatnya ditemui di kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 7 November tahun lalu.

Abdul Razak, 46, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar, membunuh Altantuya di pejabatnya di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara jam 9.54 pagi dan 11.05 pagi 18 Oktober 2006.

Azilah dan Sirul Azhar, yang kedua-duanya dari Unit Tindakan Khas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dituduh membunuh Altantuya di lokasi antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Ketiga-tiga mereka didakwa dan boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Kes tersebut disebut di depan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Md Yusni pagi ini yang menetapkan tarikh baru itu.

Beri keutamaan

Mohd Zaki menjelaskan tiga pesuruhjaya kehakiman baru telah dilantik, sebagai tambahan kepada tiga orang yang sedia ada, untuk mendengar perbicaraan kes jenayah di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Semua hakim bersetuju untuk mempercepatkan kes-kes jenayah (yang tertunggak)," katanya, sambil menambah kes-kes yang membabitkan kakitangan awam, akan diberi keutamaan.

Karpal Singh yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak keluarga Altantuya, kelihatan tidak puashati dan meminta penjelasan lanjut daripada Mohd Zaki.

Mohd Zaki, yang bertanya sama ada Karpal mempunyai masalah jika beliau mendengar kes tersebut, berkata kes-kes yang dipercepatkan itu, dibahagikan sama rata antara hakim-hakim yang ada.

Tambahnya, Hakim Segara mempunyai lebih banyak kes untuk didengar, dan kerana itu, beliau (Mohd Zaki) ditugaskan mendengar kes tersebut.

Peguam bantah

Selepas Mohd Zaki berkata yang beliau sedang melihat kemungkinan tarikh perbicaraan kes ditetapkan pada bulan April, peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sairul Azhar membantahkan kes itu dipercepatkan sehingga setahun kerana pihaknya membuat persediaan berdasarkan tarikh asal pada 10 Mac 2008.

Bagaimanapun, peguam Wong Kian Keong yang mewakili Abdul Razak berkata, kes tersebut mempunyai kepentingan awam dan oleh itu harus didengar secepat mungkin.

"Tertuduh ketiga (Abdul Razak) telah memfailkan afidavit untuk membantu mempercepatkan perbicaraan...saya menerima arahan tegas daripada pelanggan saya supaya mendapatkan tarikh paling awal untuk kes itu didengar," kata Wong.

Peguam Zulkifli Noordin yang mewakili Azilah pula berhujah, beliau bersedia sepenuhnya untuk menghadapi perbicaraan pada 4 Jun, sambil menambah, mereka mempunyai kira-kira 40 saksi.

"Beri kami masa secukupnya untuk membuat persediaan supaya kami tidak perlu memohon penangguhan kemudiannya," kata Zulkifli, sambil menambah, beliau perlu merunding dengan pelanggannya jika perbicaraan itu hendak diadakan pada tarikh yang lebih awal.

Selepas mendengar hujah-hujah tersebut, Mohd Zaki menetapkan perbicaraan kes itu diadakan mulai 4 Jun.

"Tidak penangguhan. Kes ini akan didengar sehingga selesai," katanya.

Ketika ditemui kemudiannya, Timbalan Pendakwaraya, Salehudin Saidin berkata, mereka bersedia untuk memulakan perbicaraan kes itu walaupun tarikhnya telah dipercepatkan.

" Saya tak ada komen, tetapi kami sedia bersedia. (Perbicaraan) boleh bermula esok, (atau) boleh dimulakan pada bila-bila masa," kata Salehudin.

Keadaan kecoh

Sementara itu, keadaan menjadi kecoh seketika dalam bilik mahkamah semasa Mohd Zaki hendak mendengar satu lagi kes.

Anak perempuan Abdul Razak, Roweena, mula menjerit kuat, menyebabkan Mohd Zaki mengarahkan dia meninggalkan bilik mahkamah.

Isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan memberita Mohd Zaki bahawa anaknya itu mengalami masalah kesihatan. Mohd Zaki kemudiannya menangguhkan prosiding selama 10 minit.

Dengan bantuan saudara maranya, Mazlinda membawa anaknya ke sebuah kereta Mercedez Benz sebelum beredar dari kawasan mahkamah. Berita asal