PRU15 | Tiga NGO mengingatkan pengundi di Malaysia bahawa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah wadah untuk rakyat memilih pemimpin yang berkebolehan, jujur ​​dan amanah.

Perkara itu ditegaskan dalam satu kenyataan bersama oleh Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor (KLSCAH), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (Pusat LLG).

"PRU15 ini adalah tempat untuk rakyat memilih pemimpin yang berkemampuan, jujur dan amanah. Ia juga tempat untuk menolak calon yang mementingkan diri sendiri, menyalahguna kuasa dan mengamalkan rasuah.

"Jika anda tidak keluar mengundi, bermaksud anda memilih orang yang tidak layak dan tidak mampu memimpin negara," kata mereka dalam kenyataan tersebut.

Ketiga-tiga NGO itu juga menyeru rakyat Malaysia untuk keluar mengundi dengan menegaskan adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat yang terbaik demi negara.

"Rakyat harus meneliti kelayakan dan keupayaan calon berdasarkan latar belakang dan rekod prestasi mereka," tambahnya.

Justeru katanya, tiga ciri perlu diutamakan dalam memillih calon iaitu berkemampuan melaksanakan tanggungjawab, amanah dan jujur.

"Hanya pemimpin yang berkemampuan, amanah dan jujur dapat memacu Malaysia menjadi negara yang harmoni, maju dan disegani.

“Di belakang pemimpin seperti ini, rakyat akan bersatu padu menyokong dan mendukung gagasan kepimpinannya,” jelasnya.

Selain itu, NGO terbabit juga menyeru parti politik dan calon mematuhi prinsip pilihan raya yang adil dan bersih, mengemukakan pandangan politik yang memanfaatkan pembangunan negara serta mengelakkan isu sensitif berkaitan agama dan kaum.