Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO tambah bas percuma bawa pengundi dari Lembah Klang
Diterbitkan:  Nov 7, 2022 7:56 PM
Dikemaskini: 11:56 AM

PRU15 | Sekumpulan NGO menambah bilangan bas untuk membawa pengundi pulang ke kampung halaman mereka dari Lembah Klang pada pilihan raya umum kali ini.

Bilangan bas berkenaan ditambah selepas inisiatif yang dianjurkan - Jawatankuasa Hak Sivil KLSCAH, Sayangi Kinrara dan Pemuda SKLHA – mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak tiga hari lalu, dengan 571 permohonan diterima setakat ini.

“Penganjur telah membuat keputusan untuk meningkatkan kekerapan bas di lima laluan tertentu.

“Memandangkan PRU15 akan diadakan pada Sabtu depan, penganjur berharap pengundi yang layak dapat merebut peluang pulang ke kampung halaman dan mengundi dengan menaiki bas percuma,” kata kumpulan itu.

NGO tersebut berkata mereka akan menyediakan satu bas tambahan untuk laluan Alor Star dan Tangkak – Yong Peng – Johor Bahru – Pontian serta dua bas tambahan untuk laluan Ipoh – Taiping, Kota Bharu dan Pulau Pinang.

Menurut mereka, laluan yang paling mendapat permintaan ketika ini ialah laluan Ipoh – Taiping, Kota Bharu dan Pulau Pinang.

Sebelum ini dilaporkan kumpulan NGO ini menawarkan khidmat bas percuma untuk pengundi yang layak membabitkan lapan laluan dari Lembah Klang.

Semua bas percuma tersebut akan berlepas dari Dewan Masyarakat BK2, Puchong, yang terletak berhampiran stesen LRT Kinrara BK5 pada 8 malam, 18 Nov (Jumaat).

Lapan laluan itu ialah, dari Puchong, Tangkak – Yong Peng – Johor Bahru – Pontian; Muar – Batu Pahat; Kuantan; Pulau Pinang; Ipoh – Taiping; Alor Star; Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

Mereka juga menawarkan perjalanan bas pergi dan balik ke Puchong pada hari berikutnya, iaitu pada hari mengundi.

Bas berkenaan akan bertolak dari lokasi masing-masing pada jam 6 petang.

Menurut kumpulan itu, mereka yang ingin menaiki bas percuma itu boleh mendaftar melalui Google Form yang disediakan sebelum 16 Nov 2022.

Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan oleh penganjur melalui WhatsApp mulai sekarang hingga 16 Nov dan pemohon mesti mengemukakan mesej WhatsApp sebagai bukti pada hari berlepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS