Ahmad anggap sepanduk memalukan kempen murahan lawan
Beberapa sepanduk yang digantung sehari sebelum hari penamaan calon yang memaparkan kata-kata memalukan pemimpin Umno adalah kempen murahan daripada pihak lawan, kata Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said.
Bekas Menteri Besar Terengganu dan calon kerusi Parlimen Kemaman itu berkata ia juga merupakan tindakan terdesak pihak lawan mereka.
Menurut Ahmad, tindakan menggunakan cara berkempen dengan taktik menyerang secara peribadi dianggap tidak memberi kesan, sebaliknya sekadar meraih simpati pengundi untuk BN.
"Ia satu tindakan yang memalukan dan satu kempen murahan dari pihak lawan untuk memburukkan parti BN pada pilihan raya pada kali ini," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis Jom Masuk Rancangan Felda Wilayah Terengganu, di Kemaman, hari ini.
Terdahulu, Pemuda Umno Kemaman membuat laporan polis berhubung isu empat sepanduk dinaikkan yang didakwa menyerang peribadi Ahmad.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, petang tadi.

Sepanduk yang bertulis pemimpin Umno cabul kehormatan itu jelas memperlihatkan wajah Ahmad dan dinaikkan di Kampung Chabang, Kerteh, selain yang terbaru di Kuala Kemaman dan di Plaza Tol Chukai hari ini.
Pada masa sama Ahmad berkata dia tidak gentar dan telah bersedia berdepan dengan sebarang serangan isu panas daripada pihak lawan kerana memang menjangkakan mereka membangkitkan isu lama bagi meraih sokongan.
"Itu hak dia, terpulang pada dia. Itulah perjuangan Islam dia, saya tak tahu dan biarkanlah.
"Tapi, apa yang berlaku ini, rakyat boleh menilai apa yang dicakap, apa yang dibuat (sama ada), betul atau tidak.
"Kita orang politik, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kita bersedia untuk menghadapinya," katanya.
Sementara itu, mengulas lanjut, Ahmad berkata, rakyat kini sudah bijak menilai dan tidak akan mudah terpengaruh dengan isu murah sedemikian kerana mereka muak dengan janji-janji palsu pihak lawan pada PRU lalu.
Ahmad berdepan saingan empat penjuru di Parlimen Kemaman pada 19 Nov ini.
Calon BN itu cuba merampas kerusi tersebut daripada penyandang Che Alias Hamid (PN), dan turut serta dalam persaingan tersebut ialah Hasuni Sudin (PH) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang).
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/2962a1e2572416e2e09cb4394cc15296.jpg)
