Bekas menteri besar Terengganu, Idris Jusoh yakin Umno-BN akan mempertahankan kerusi Parlimen Besut yang ditandingi calon penggantinya Nawi Mohamad pada pilihan raya umum ke-15 ini.

Idris yang juga penyandang kerusi Parlimen Besut itu berkata peluang besar itu dilihat selepas pihak lawannya dari PAS mencalonkan bekas pemimpin yang ditolak parti itu sebelum ini.

"Alhamdulillah, saya di Besut dua tiga hari dan saya melihat kita mempunyai peluang yang baik kerana calon yang besar sekali PAS-lah.

"Calon PAS ini, dulu yang Umno tolak sebenarnya. Calon PAS di Besut adalah calon yang Umno reject (tolak) dan kemudian masuk PAS.

Nawi Mohamad, calon Parlimen Besut.

"Kerana dia tidak memberikan perkhidmatan yang baik dalam Umno di Setiu dan sebab itu tidak dicalonkan semula dan kemudian dia masuk PAS," katanya kepada pemberita selepas program Jom Masuk Rancangan Felda Wilayah Terengganu, di Kemaman, hari ini.

Mengulas lanjut, Idris berkata disebabkan itu, adalah mudah bagi Umno-BN untuk memberitahu rakyat siapa calon PAS sebenarnya.

"Jadi, senang sebenarnya kita beritahu kepada rakyat inilah calon yang ditolak oleh Umno, PAS ambil balik," katanya.

Selain itu, Idris juga menyatakan keyakinannya untuk Umno-BN merampas semula kerusi Parlimen Kemaman dan Dungun.

"Saya lihat disini (Kemaman) semangat mereka baik sekali. Begitu juga di Dungun, seorang calon yang berwibawa, seorang hafiz, lulusan Sains Politik dan seorang ustaz, seorang orang muda 40 tahun dan berkaliber serta orang baru.

"Kalau kita nak meremajakan Umno inilah masanya dan Mat Said orang yang di Kemaman memang dikenali dan saya nampak bila ketiga-tiga ini saya jumpa, saya nampak bahawa ada kepentingan besar kita boleh menang di ketiga-tiga Parlimen ini," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Idris berkata penganjuran program Jom Masuk Felda dianjurkan pihaknya bagi tujuan memberi penerangan kepada peneroka berhubung kejayaan yang dicapai Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sejak dua tahun lalu agar golongan itu tidak terdedah dengan fakta yang tidak sahih.

"Untuk beri penarangan kepada peneroka kejayan yang dicapai oleh Felda sejak dua tahun lalu supaya mereka tak diganggu dengan fakta-fakta yang salah," katanya.

Selain itu, Idris berkata Felda mensasarkan kutipan sehingga RM30 juta menerusi sumbangan Waqaf Felda sehingga Disember ini.

Idris yang juga Pengerusi Felda berkata menerusi Program Sedekah RM300 di bawah Waqaf Felda sejak januari lalu telah berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM7.7 juta daripada peneroka dan kutipan dana ini masih berterusan.

Tambahnya, tujuan penubuhan Waqaf Felda adalah untuk merubah minda peneroka dimana dahulu golongan peneroka merupakan golongan yang sentiasa meminta tetapi kini peneroka adalah golongan masyarakat yang suka bersedekah.

Katanya lagi, wakaf berkenaan juga adalah wakaf koporat dan hanya keuntungan daripada dana sahaja yang boleh digunakan.