Calon BN di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pencabarnya, R Ramanan dari Pakatan Harapan (PH) jika terus menuduhnya melakukan rasuah.

Amaran itu dikeluarkan selepas Ramanan mencabarnya untuk menjelaskan "isu ECM Libra", di mana menteri kesihatan itu terlibat pada 2006.

"Saya katakan ini dengan jelas.You nak buat tuduhan, you buat tuduhan. Maknanya tuduhan adalah KJ sakau duit ini. You jangan kitar semula isu dengan minta penjelasan.

“Itu kiasan. Kiasan untuk menjejaskan kredibiliti dan imej saya.

"Buat tuduhan yang betul bahawa saya sakau duit rakyat, ataupun saya jadi scammer, ataupun saya ambil duti. Saya akan jumpa awak di mahkamah,” katanya ketika berkempen di kawasan parlimen berkenaan hari ini.

Khairy berkata dia telah menjelaskan perkara itu berkali-kali pada masa lalu, malah perkara itu juga disiasat oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Ramanan pertama kali membangkitkan isu ECM Libra dalam temu bual dengan Malaysiakini yang diterbitkan pada 5 November lalu, apabila dia mempersoalkan mengapa perhatian diberikan dalam kes sivil tahun 2014 di mana mahkamah mendapati dia terlibat dalam kes penipuan, tetapi bukan kes melibatkan Khairy.

Khairy terlibat dalam pembelian saham bank saudagar ECM Libra bernilai AS$2.6 juta, melalui pinjaman mudah daripada pengasas syarikat itu.

Ia menjadi kontroversi apabila ECM Libra yang bermasalah dibenarkan bergabung dengan syarikat kerajaan Avenue Capital, sejurus selepas Khairy membeli saham tersebut.

Pada masa itu, bapa mentua Khairy, Abdullah Ahmad Badawi merupakan perdana menteri, menyebabkan perkara itu disiasat oleh PAC.

Disebabkan tekanan orang ramai, Khairy dipaksa menjual sahamnya dalam ECM Libra.

Kes Ramanan

Dalam kes sivil pada 2014 itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Ramanan memperoleh RM5.5 juta secara curang dengan mengemukakan surat palsu, yang menyebabkan plaintif, M Mahadevan - seorang pakar psikiatri - percaya Ramanan boleh mendapatkan sewa yang dihutang kepadanya oleh Kementerian Pertahanan.

Kementerian Pertahanan sebelum itu menggunakan tanah milik Mahadevan sebagai padang latihan menembak.

Susulan keputusan mahkamah itu, Ramanan meletakkan jawatan sebagai bendahari agung MIC.

Dia memulangkan RM5.5 juta kepada plaintif, dan tuntutan mahkamah diselesaikan di luar mahkamah.

Ramanan memberitahu Malaysiakini bahawa perkara itu adalah salah faham perniagaan dan telah diselesaikan secara baik.

Tiada pertuduhan jenayah dibuat terhadap Ramanan.