Penduduk di Gunung Besout, Sungkai mampu tersenyum gembira apabila seramai 102 orang peserta berjaya terpilih dalam mendapatkan rumah generasi baharu di situ.
Majlis cabutan undi Perumahan Generasi Baharu (PGBF) Gugusan Felda Gunung Besout itu diadakan di Gunung Besout 2, hari ini.
Malaysiakini difahamkan cabutan melibatkan 254 pemohon yang memenuhi syarat bagi mendapatkan rumah di lima buah tanah rancangan, iaitu Felda Gunung Besout 1 hingga 5.
Pengerusi Felda, Idris Jusoh turut hadir dalam acara itu, yang antaranya dikatakan menyeru supaya warga Felda menyokong kepimpinan BN.

“Idris kata jangan malu sokong BN kerana BN dah bela orang Felda dari dulu,” kata sumber.
Sementara itu, turut hadir penyandang Dun Slim, Mohd Zaidi Aziz dan calon ahli parlimen Tanjong Malim, Mah Hang Soon yang juga Timbalan Menteri Pendidikan.

Dua tahun lepas, media melaporkan penduduk Felda itu berharap tiada lagi penangguhan projek perumahan generasi kedua di situ.
Rumah teres setingkat dengan tiga bilik dan dua bilik air itu dianggarkan bernilai antara RM90,000 hingga RM95,000 sebuah.
Sebelum itu, kerajaan dilaporkan memberi komitmen meneruskan projek itu meskipun perlu menyalurkan subsidi yang besar susulan kekangan kewangan.
