Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Janji populis: PSM minta calon BN isytihar jam, beg tangan mewah dulu

PRU15 | PSM menyatakan rasa terkejut dengan langkah BN melancarkan manifesto yang mengandungi janji-janji bersifat sosialis pada pilihan raya umum kali ini.

S Arutchelvan berkata "gabungan kapitalis" itu pada masa lalu menjadi batu penghalang apabila PSM mendesak tuntutan seperti gaji asas dan pendidikan percuma untuk golongan berpendapatan rendah.

“Pengundi harus berhati-hati dengan parti yang hanya populis semasa tempoh berkempen,” kata timbalan pengerusi PSM itu.

Berhubung janji untuk membasmi kemiskinan mutlak, Arutchelvan berkata BN harus mengarahkan calonnya untuk mengisytiharkan harta mereka terlebih dahulu.

“Mereka harus mendedahkan setiap jam tangan berjenama dan beg tangan yang mereka miliki.

“Kita semua tahu bagaimana sesetengah ahli politik dan pasangan mereka memiliki barangan sedemikian, harganya lebih tinggi daripada apa yang orang B40 boleh perolehi sepanjang hayat,” katanya kepada Malaysiakini.

Arutchelvan menegaskan tiada negara di dunia yang berjaya menghapuskan kemiskinan melalui sistem kapitalis.

Memetik Dasar Ekonomi Baru (DEB), dia berkata kerajaan berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dalam tempoh 20 tahun tetapi tidak dapat membasmikannya.

DEB, yang diperkenalkan semasa perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein, dilaksanakan pada 1971 dan digantikan dengan Dasar Pembangunan Nasional (NDP) pada 1991 di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad selaku perdana menteri ketika itu.

Jurang pendapatan melebar

Sementara itu, Arutchelvan berkata jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin di Malaysia semakin melebar sejak beberapa tahun lalu.

“BN hanya boleh kurangkan kemiskinan tegar jika mereka mampu memberi pekerja gaji yang padan dan cuba meratakan keluk. Sebagai permulaan, mereka harus terlebih dahulu mengisytiharkan harta mereka,” tambahnya.

Arutchelvan juga mendakwa ketika pekerja golongan B40 dari Perak dan Sabak Bernam datang ke pejabat BN pada 3 November lalu, tiada sesiapa yang muncul untuk menerima memorandum mereka.

Pekerja terbabit hadir untuk meminta BN menyokong penghapusan sistem kontrak dan menyerap pekerja kontrak dalam sektor kerajaan yang sekali gus akan menyelesaikan isu kemiskinan lebih 400,000 pekerja.

Satu lagi janji penting dalam manifesto BN ialah pekerja mendapat cuti bergaji pada hari lahir mereka bagi mengiktiraf sumbangan golongan pekerja kepada negara.

Selain itu BN juga berjanji untuk golongan muda bagi menggubal Akta Kontraktor Tanggungan, yang menurut Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi akan melindungi kebajikan dan pendapatan pekerja gig seperti pemandu e-hailing, penghantar makanan dan sebagainya.

Secara kebetulan, Zahid pernah mencuri perhatian dengan koleksi jam tangan mewah yang dipakainya.

Pada 2015, tiga tahun sebelum BN tumbang di Putrajaya, timbalan perdana menteri itu mempertahankan pembelian tiga jam tangan mewah bernilai lebih RM1 juta.

Zahid berkata dia merupakan seorang tokoh korporat sebelum menjadi ahli politik, dan oleh itu tidak ada sebab untuk isu itu dibangkitkan.

Lihat Komen
ADS