Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menangguhkan segala proses perolehan berkaitan Projek Tebatan Banjir secara Off-Budget atau luar bajet (2023-2030) selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Okt lepas. 

KASA memaklumkan sepanjang tempoh kerajaan sementara (caretaker) susulan pembubaran Parlimen, pihak kementerian menangguhkan segala proses berkaitan projek itu termasuk pengeluaran Surat Niat, Surat Pelawaan dan Surat Setuju Terima.

Turut ditangguhkan adalah sebarang bentuk rundingan dengan pihak kontraktor atau perunding termasuk Kerja-Kerja Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat.

“KASA sentiasa cakna dan patuh kepada peraturan yang berkaitan dalam tempoh kerajaan caretaker ini,” katanya dalam kenyataan hari ini merujuk tulisan seorang ahli politik mengenai kerajaan sementara di laman webnya.

Menurut KASA Surat Pekeliling Kementerian Kewangan berkaitan Pelaksanaan Perolehan Kerajaan Selaras Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker serta Garis Panduan Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker antara lain menetapkan apa-apa komitmen kontraktual atau aku janji hendaklah dielakkan.

Ia turut menetapkan apa-apa rundingan atau aku janji baharu yang boleh mengikat dan membebankan serta memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baharu hendaklah dielakkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Okt lepas mengumumkan pembubaran Parlimen Penggal Ke-14 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali pada hari sama memaklumkan Kabinet yang diterajui Ismail Sabri berfungsi sebagai kerajaan sementara atau “caretaker” dengan Mesyuarat Kabinet masih boleh dijalankan seperti biasa walaupun Parlimen telah dibubarkan

Bagaimanapun, Mohd Zuki berkata Kabinet tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar walaupun masih boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam soal pentadbiran negara.

- Bernama