‘Amanah, Muda ketepikan sentimen, sedia bersama ke Putrajaya’
PRU15 l Tanda-tanda ketegangan antara Amanah Johor dengan Muda berhubung calon di kerusi parlimen Tanjung Piai semakin kendur. Sebelum hari penamaan calon pada Sabtu lalu, pertikaman lidah yang rancak berterusan di antara kedua-dua parti berkenaan.
Malam tadi, ketua jawatankuasa pusat Amanah Johor, Mazlan Aliman, yang sebelum ini mengkritik kepemimpinan partinya yang melepaskan kerusi Tanjung Piai, turun memberi sokongan kepada calon Muda, Lim Wei Jiet.
“Bagi saya, apa pun yang kita hadapi, dalam kerangka semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan, bersama juga dengan Muda sebagai rakan kita, kita kena ketepikan sentimen dan emosi yang ada pada semua pihak.

“Justeru mengambil kira kita kena fokus menghadapi BN, saya dan rakan-rakan, dengan Muda kita harus bersama-sama ke Putrajaya,” kata Mazlan ketika ditemui selepas pertemuannya dengan Lim dan jentera Muda.
Selain penyokong parti, turut hadir pada majlis itu adalah anggota polis berpakaian seragam dan berpakaian preman serta pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya.
Mazlan berkata walaupun dia telah bersuara bagi pihak akar umbi Amanah di Tanjung Piai yang pada mulanya tidak berpuas hati dengan keputusan parti melepaskan kerusi itu, semua perkara berbangkit berjaya diselesaikan menjelang hari penamaan calon Sabtu lalu.
“Sebagai penimpin kita (Amanah Johor) kena fahami perasaan akar umbi, sementara kita bersoladiriti dengan akar umbi kita, keputusan telah dibuat dan kita kena akur dengan keputusan Majlis Presiden PH.

“Dalam saya buat komen secara terbuka (berkenaan calon di Tanjung Piai) tapi itu tidaklah bermaksud yang kita buat sesuatu boleh mencederakan parti kita sendiri,” katanya.
Bekas pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Felda) itu berkata dia sudah melawat beberapa penempatan Felda untuk berkempen bagi calon PH.
Mazlan turut merakam video kempen media sosial bersama Lim, memaparkan bagaimana calon yang lebih muda boleh membantu membangunkan Tanjung Piai dengan lebih baik dalam sektor pertanian dan perikanan.
Ditanya mengenai hubungan Muda dengan PH, Lim berkata kedua-dua parti telah menyelesaikan perselisihan mereka dan kini boleh memberi tumpuan kepada kempen pilihan raya.
Lim juga berkata dia setakat ini menerima maklum balas yang baik daripada pengundi tempatan yang ditemui semasa kempennya di sepanjang kerusi di hujung selatan Johor itu.

“Tetapi ada juga yang ingin tahu. Mereka tidak tahu siapa itu Muda jadi kami perlu jelaskan siapa kami, apa yang kami pegang.
“Jadi, kita perlu bekerja lebih keras," kata Lim, yang dalam kempen kedua selepas bertanding di kerusi DUN Tenang pada pilihan raya negeri Mac lalu.
Penyandang kerusi Tanjung Piai Wee Jeck Seng yang mewakili BN akan mempertahankan kerusinya yang dimenangi semasa pilihan raya kecil 2019. Kerusi itu kosong susulan kematian Md Farid Md Rafiq dari Bersatu, yang menewaskannya pada PRU14 setahun sebelumnya.
Selain Lim dan Wee, Perikatan Nasional menurunkan Najwah Halimah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/2cfc590ebaae4928d5da92df51b201ef.jpg)
