Pemimpin pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali mempersoalkan sikap berdiam diri Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong dalam isu penggantungan operasi  kereta api LRT di ibu negara selama seminggu.

Dia yang juga lawan Wee di kerusi parlimen Ayer Hitam, Johor berkata walaupun parlimen sudah dibubarkan, Malaysia masih mempunyai kerajaan sementara untuk mengendalikan urusan kerajaan.

“Perkhidmatan LRT dari stesen Kelana Jaya ke Ampang Park terhenti operasi selama tujuh hari bermula hari ini. Namun tiada sepatah pun ulasan atau jawapan dari menteri pengangkutan Wee Ka Siong. 

“Beliau masih ada tanggungjawab. Beliau masih dibayar gaji menteri. Adakah beliau masih sibuk berkempen pilihan raya meskipun ada insiden sebesar ini?” soalnya.

Sheikh Umar

Perkhidmatan LRT di 16 stesen, bermula di Kelana Jaya hingga Ampang Park, ditutup selama tujuh hari bermula hari ini, setelah tergendala semalam.

Insiden itu merupakan gangguan perkhidmatan terburuk sejak LRT aliran Kelana Jaya mula beroperasi pada 1998.

LRT aliran itu adalah aliran yang paling banyak digunakan, melibakan 330,000 pengguna di waktu puncak setiap hari.

Prasarana menjelaskan penggantungan operasi dibuat ekoran kerosakan berulang dalam sistem isyarat yang tidak pernah berlaku dan menyebabkan lokasi kereta api tidak boleh dikesan.

Gambar hiasan

Dalam kenyataan sebentar tadi, Sheikh Umar berkata, langkah itu memberi kesan kepada puluhan ribu warga kota setiap hari, termasuk penduduk Ayer Hitam yang bekerja di sana.

“Sikap seperti ini akan menjadi kayu ukur, adakah Wee Ka Siong masih patut diangkat di Ayer Hitam seterusnya diamanahkan sebagai menteri.

“Dengan prestasi sebegini, saya menyeru anak muda di ibu kota khususnya yang berasal dari Ayer Hitam supaya memberikan mesej yang jelas menolak Wee Ka Siong dalam PRU-15 ini,” katanya.