Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar isytihar aset bersih lebih RM11 juta
Diterbitkan:  Nov 9, 2022 4:38 PM
Dikemaskini: 9:47 AM

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim hari ini mengisytiharkan aset bersih sebanyak RM11,178,667.80.

Pengisytiharan harta itu disyaratkan PKR kepada calon pilihan raya umum (PRU) ke-15 mereka dan disiarkan di laman khas calonkeadilan.org

Dokumen pengisytiharan Anwar antara lain menyenaraikan wang tunai dan simpanan (termasuk pelaburan) berjumlah RM828,667.83, yang kebanyakannya disimpan di akaun Bank Islam (RM354,812.58).

Selain itu, aset lain merupakan tanah berserta rumah di Segambut Dalam, Kuala Lumpur dengan nilai pasaran RM9 juta yang dibeli dengan harga RM4 juta pada 2005 secara tunai hasil jualan unit rumah di Bukit Damansara.

Turut disenaraikan tanah di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan nilai pasaran RM1 juta yang dibeli pada tahun ini secara tunai, yang dinyatakan sebagai hasil jualan rumah di Bukit Damansara.

Pada ruangan barang kemas dan kenderaan, tiada aset yang disenaraikan.

Anwar merupakan antara yang terakhir daripada kalangan calon PKR membuat pengisytiharan itu, selepas kebanyakan calon lain selesai berbuat demikian dua hari lalu.

Setakat laporan ini ditulis, dokumen pengisytiharan harta bagi isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail masih belum tersedia.

Sementara itu, Anwar yang ditemui pemberita pada sesi dialog di Kuala Lumpur hari ini berkata dia mengambil masa menyelesaikan pengisytiharan hartanya kerana perlu menyelesaikan urusan lain terlebih dahulu.

"Saya tidak melengahkan (proses pengisytiharan aset). Saya berada di luar kawasan, saya berada di Johor dan hanya balik pada pukul 2 pagi hari ini.

"Saya perlu menandatangani dokumen itu di hadapan pesuruhjaya sumpah, sebab itu saya tidak dapat menyelesaikannya lebih awal," katanya.

Dia turut mencadangkan agar perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob dan menteri kesihatan sementara Khairy Jamaluddin mengisytiharkan harta mereka.

Lihat Komen
ADS