Internet, pelancongan perlu diperbaiki di Jeli
PRU15 l Tiga daripada empat calon yang bertanding merebut kerusi Parlimen Jeli pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikrar akan memberi tumpuan kepada sektor pendidikan, liputan Internet dan pelancongan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat 19 Nov nanti.
Calon Barisan Nasional (BN-Umno) Norwahida Patuan berkata masih terdapat kawasan di Jeli yang tidak menerima liputan Internet dengan baik dan perkara tersebut harus diselesaikan segera.
"Internet penting kepada pendidikan dan ekonomi, perkara ini terbukti apabila ketika negara berdepan penularan Covid-19, sektor pendidikan dan perniagaan bergantung 100 peratus menggunakan Internet.
"Ada penduduk mengeluh, kawasan mereka tidak dapat liputan Internet yang baik serta terpaksa pergi jauh untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut untuk melakukan urusan pembelajaran dan perniagaan," katanya ketika ditemui di sini.
Menurut Norwahida beliau akan turut memberi tumpuan membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk Jeli yang ketika ini rata-rata bergantung kepada pendapatan sebagai petani, pekebun kecil dan penoreh getah.
"Saya mahu bawa teknologi pertanian yang boleh meningkatkan pendapatan mereka.
"Saya juga mahu melahirkan masyarakat yang mampu berdikari dengan kemudahan teknologi pertanian dan tidak hanya bergantung kepada kaedah konvensional untuk menjana pendapatan mereka.
Bagi calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Zahari Kechik bidang pendidikan, agama dan pembangunan rakyat Jeli masih perlu diberi tumpuan di kawasan tersebut.
"Rakyat Jeli masih lagi dahagakan pembangunan dan pembelaan. Saya akan teruskan legasi Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) dengan memberi tumpuan kepada bidang pendidikan, agama dan pembangunan demi rakyat.
"Pendidikan menjadi aspek penting bagi mengubah pembangunan dan ekonomi, walaupun ada pembangunan pendidikan di Jeli namun masih ramai yang tidak dapat tahap pendidikan tinggi," katanya.
Calon Pakatan Harapan (PH-Amanah) Md Radzi Wahab berkata bidang agropelancongan dilihat boleh menjadi sumber ekonomi baharu kepada rakyat Jeli.
"Agropelancongan Jeli mempunyai potensi untuk dibangunkan kerana ada berpuluh-puluh kawasan menarik seperti air terjun, gua dan sungai yang mampu menjana pendapatan kepada penduduk setempat.
"Sektor ini boleh dimajukan bagi menarik pengunjung dalam atau luar negara untuk datang ke Jeli bagi menikmati kebersihan udara dan alam semula jadi sini," katanya yang mahu jadikan Jeli sebagai pusat pelancongan utama di Kelantan.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/06/11adfac13edc660fd6ef5087d2b63814.jpg)
