Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRU15 | Aktif memberi ceramah dan menjalin hubungan baik dengan pemimpin dan akar umbi PAS ketika zaman Muafakat Nasional (MN) memberi kelebihan kepada calon BN bagi Parlimen Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin dalam misi kempennya.

Menurutnya, atas dasar keintiman yang terjalin sepanjang hubungan antara Umno dan PAS dalam MN sebelum ini menjadikan dia lebih mudah diterima pengundi khususnya di kubu-kubu kuat PAS.

"Apa yang paling saya seronok adalah penerimaan masyarakat, kalau sejarah dulu Umno agak sukar menembusi kubu-kubu kuat PAS, tetapi senario itu sudah tidak berlaku pada pilihan raya kali ini.

"Saya setakat ini diterima di mana-mana PDM (pusat daerah mengundi) walaupun PDM itu majoritinya adalah penyokong tegar parti lawan. Setakat ini mereka membuka ruang, kita masuk pun tiada masalah.

“Jadi inilah perkara yang menyebabkan saya semakin bersemangat untuk teruskan siri kempen ini," katanya ketika ditemui ketika berkempen di kawasan Bukit Pinang, Pokok Sena, lewat petang semalam.

Noran yang juga naib ketua Umno bahagian Pokok Sena merupakan calon muka baru yang ditampilkan parti itu untuk berdepan penyandang ahli parlimennya Mahfuz Omar (PH), Ahmad Yahya (PAS) dan Noraini Md Salleh (Warisan)

Pada PRU ke-14 lalu, Mahfuz yang juga pengerusi PH Kedah memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,558 undi.

Sementara itu Noran berkata, landskap politik di kawasan Pokok Sena sejak sekian lama hanya membabitkan perlawanan antara PAS dan BN.

"Landskap politik di Parlimen Pokok Sena ini antara PAS dan Umno dari dulu lagi sekali gus kurang pengaruh parti-parti lain.

"Oleh kerana tempoh 22 bulan hubungan MN sebelum ini, hubungan saya dengan pihak PAS sangat intim. Ketika itu saya lebih kerap dijemput oleh PAS berbanding Umno untuk menjadi penceramah.

"Jadi oleh kerana hubungan ketika MN itu saya akrab bersama pimpinan PAS bukan sahaja pimpinan peringkat tertinggi tetapi juga peringkat umbi menjalinkan hubungan baik dengan saya.

"Oleh sebab itulah senario kali ini berbeza antara saya dengan PAS dalam suasana harmoni yang sudah sebati sebagai kawan atau sahabat," jelasnya.

Tambahnya, walaupun calon-calon lawan merupakan individu berpengaruh dia tetap menghormati mereka dan yakin mampu memberi saingan yang sengit untuk meraih kemenangan.

"Saya faham dan menghormati lawan saya Datuk Mahfuz Omar yang dah berpenggal-penggal menjadi ahli parlimen Pokok Sena sudah tentu beliau mempunyai pengalaman dalam menghadapi cabaran pilihan raya. Begitu juga Datuk Ahmad Yahya seorang pesuruhjaya PAS negeri, bukan calang-calang tokoh juga.

"Tetapi dalam kita berkempen untuk menang kita menghormati lawan tetapi tidaklah sampai rasa lemah semangat atau hilang keyakinan dalam gerak kerja selama tempoh berkempen ini, saya amat yakin mampu bersaing dengan mereka," ujar Noran lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS