Calon Bebas tawarkan kelainan
PRU15 l Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merekodkan jumlah penyertaan calon Bebas paling ramai bertanding kerusi Parlimen dalam sejarah politik negara iaitu 108 orang, dengan masing-masing mengemukakan tawaran berbeza buat pengundi.
Antaranya, calon Bebas Wangsa Maju Ravee Suntheralingam yang menjanjikan kawasan itu bebas daripada kemiskinan bandar sekiranya beliau memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada 19 Nov ini.

Ravee, 60, yang bertanding di bawah Gerak Independent percaya kemiskinan bandar berkait rapat dengan kos sara hidup yang tinggi manakala gaji rendah yang diterima dalam kalangan anak muda Malaysia pada masa kini disebabkan sistem pendidikan lapuk.
“Pertama sekali, kita perlu perbaiki pendapatan rakyat yang ditentukan oleh tahap pendidikan, perbaiki kos sara hidup dan yang penting sekali ialah kemampanan makanan serta kualiti hidup yang terjejas akibat rasuah,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kehidupan rakyat banyak bergantung kepada undang-undang yang dibuat ahli Parlimen, justeru rasuah dalam kerajaan itu sendiri akan merosakkan negara secara keseluruhannya.
Ravee berkata pada awalnya beliau menyertai Gerak Independent tanpa sebarang hajat untuk bertanding dalam pilihan raya namun kekurangan calon yang sesuai menyebabkan beliau tampil menawarkan diri untuk menambah baik Wangsa Maju.

Sementara itu, calon Bebas di Parlimen Batu Siti Zabedah Kassim atau lebih dikenali sebagai Siti Kassim berazam menangani ‘penggunaan isu agama’ dalam agenda politik kerana tidak bersetuju dengan pentas politik semasa.
Aktivis berusia 59 tahun itu berkata kerjaya sebagai peguam banyak membantu beliau melihat sesuatu isu dari perspektif berbeza dan ia memudahkan beliau mengesan isu berkenaan dan tindakan yang boleh diambil.
“Saya rasa penggunaan agama dalam politik merupakan masalah di negara ini dan tiada siapa yang mahu menyentuh soal itu kerana ia disifatkan sebagai sensitif.
"Apabila saya mengatakan menggunakan agama dalam politik bermakna kita mesti memisahkan penggunaan agama dalam kerajaan, bermakna kita mesti mengembalikan kuasa pengurusan agama kepada Sultan kerana mengikut Perlembagaan ia adalah begitu," katanya.
Menurut Siti Kassim, sekiranya diberi peluang, beliau berhasrat mengubah sistem pendidikan bagi memastikan generasi akan datang berfikiran kritis dengan menerapkan empat mata pelajaran teras seperti teknologi, matematik, sains dan bahasa.

Calon Bebas Parlimen Seputeh Lee Wai Hong pula berkata jika dipilih menjadi wakil rakyat, beliau akan mengajukan Akta Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat dengan pengundi bukan sahaja memiliki hak untuk memberi mandat tetapi hak untuk memecat wakil rakyat.
Jurutera laman web berusia 45 tahun itu berkata antara manifesto lain ialah mengutamakan ketelusan dalam memantau dan menangani isu setempat selain pelbagai isu di ibu negara seperti menangani banjir kilat, penyelenggaraan infrastruktur, pembangunan yang berlebihan dan mengajukan pemilihan langsung jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/3819b08323a42d1262c58161a658684d.jpg)
