Azmin bertandang ke Tambun petang ini
Bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, menuju ke Tambun untuk berkempen memenangkan Perikatan Nasional di kerusi yang menjadi tumpuan ramai kali ini.
Pengarah Pilihan Raya PN itu dijadual bertemu dengan jentera gabungan terbabit serta penyokong mereka di Klebang Jaya pada jam 4.30 petang ini.
Menurut sumber dari PN, kunjungan Azmin itu akan disertai Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, selain dua calon PN bagi kerusi DUN di bawah parlimen Tambun iaitu Hafez Sabri (Manjoi) dan Puteri Holijah Mohd Rali (Hulu Kinta).
Ahmad Faizal sendiri merupakan pertaruhan PN untuk kerusi parlimen Tambun. Dia berdepan cabaran Pengerusi PH dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Untuk rekod Azmin merupakan Pengarah Pilihan Raya PN. Kunjungannya ke Tambun dilihat menarik perhatian ramai kerana dia dianggap sebagai antara watak utama menjatuhkan kerajaan PH di luar pilihan raya pada Feb 2020 lalu.

Azmin yang akan cuba mempertahankan kerusi parlimen Gombak pada 19 Nov ini mengetuai sembilan ahli parlimen lain dari PKR meninggalkan parti berkenaan dan memberikan sokongan kepada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menubuhkan kerajaan baru.
Parti itu kemudian bekerjasama dengan PAS dan disokong oleh BN.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/10/28dbc856c688db5a9592fc16c7b48fe7.jpg)
