Calon PSM: Sistem kontrak 'memangsakan' B40 perlu dimansuhkan
PRU15 | Calon PSM di Parlimen Rembau, S Tinagaran menyatakan keazamannya untuk mendesak pemansuhan sistem kontrak di jabatan kerajaan, yang menurutnya kini memangsakan ratusan ribu pekerja berpendapatan rendah.
“Saya boleh beri aku janji bahawa antara isu yang akan saya ketengahkan dan bawa ke parlimen jika saya diberi mandat ialah saya akan cuba menghapuskan sistem kontrak untuk semua perkhidmatan sokongan (seperti pekerja pembersihan dan kawalan keselamatan) di premis kerajaan.
“Saya telah berjuang selama bertahun-tahun untuk menghapuskan sistem kontrak pekerja yang tidak adil ini," kata Tinagaran yang lebih dikenali sebagai Cikgu Tina.
Dia berkata demikian ketika mengadakan sidang media dihadapan Hospital Rembau hari ini.
Tingaran yang juga seorang peguam telah mengendalikan banyak kes melibatkan pekerja kontrak yang bekerja di bangunan kerajaan termasuk masalah gaji tidak dibayar.
"Sistem kontrak ini sangat tidak adil untuk pekerja B40. Perkara ini tidak harus diteruskan lagi. Kita perlu melakukan sesuatu untuk menghentikan pemangsaan pekerja ini," katanya.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Mihael Jeyakumar Devaraj, wakil Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK), S Koyilvani dan Ketua Biro Pekerja PSM, M Sivaranjani.
Sementara itu menurut Koyilvani, JPKK menerima banyak panggilan telefon daripada pekerja kontrak seperti pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan yang bekerja di hospital atau sekolah, yang mengadu masalah mereka.
"Walaupun mereka bekerja di bangunan kerajaan, mereka digaji oleh kontraktor swasta di bawah sistem kontrak, malah ada yang disubkontrakkan."
“Walaupun kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 di seluruh negara mulai Mei tahun ini, namun sehingga kini masih ramai pekerja yang diambil di bawah sistem kontrak jenis ini yang belum dibayar mengikut kadar gaji minimum," tambah Koyilvani.
Tambahan pula, katanya, pekerja ini tidak mempunyai jaminan pekerjaan.
"Walaupun sudah lama bekerja di bangunan kerajaan itu, mereka boleh dipecat tanpa sebab apabila tempoh kontrak kontraktor tamat," katanya.
Jeyakumar, yang merupakan pengerusi kebangsaan PSM, berkata ramai pekerja kontrak kehilangan banyak hak mereka.
“Mereka tidak mendapat kenaikan gaji tahunan, tidak mendapat pencen apabila bersara, tidak mendapat pinjaman perumahan dan sebagainya. Tambahan pula, terdapat ramai kontraktor yang tidak membayar gaji dengan betul, tak bayar caruman KWSP dan sebagainya.
“Sebab itu PSM menyokong penuh tuntutan untuk menyerap semula semua pekerja kontrak di hospital dan sekolah sebagai kakitangan kerajaan,” katanya
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/8cbb4e8902eaa3f35dccc7f9a4d92601.jpg)
