Dua unit kondominium dan satu kediaman merupakan antara aset dimiliki Naib Presiden Amanah, Mujahid Yusof, selain sejumlah wang dalam simpanannya.

Mengisytiharkan hartanya di Parit Buntar hari ini, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu berkata, secara keseluruhan nilai aset yang ada padanya ialah kira-kira RM2.54 juta.

Mujahid berkata, dia sebenarnya berasa malu untuk mengisytiharkan harta tersebut kerana nilainya tidak sebesar aset yang dimiliki oleh orang lain.

"Apatah lagi saya sebagai bekas menteri agama di JPM hanya punya RM600 lebih saja simpanan di Tabung Haji," katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di media sosial.

Turut hadir dua calon PH bagi kawasan DUN di bawah Parit Buntar iaitu Muhamad Nakhaie Abd Wahab (Titi Serong) dan Anuar Ahmad (Kuala Kurau).

Mujahid yang akan bertanding mempertahankan kerusi parlimen Parit Buntar berkata demikian pada sidang media di Pusat Gerakan Induk PH Parit Buntar.

Umumnya hanya PKR yang mensyaratkan semua calonnya membuat pengisytiharan harta kepada umum sebagai salah satu kaedah menunjukkan ketelusan mereka kepada orang ramai.

Isytihar kepada parti

Parti lain bagaimanapun tidak meletakkan sebarang syarat sebegitu. Pada masa sama, beberapa pihak mengambil inisiatif sendiri mendedahkan pemilikan harta masing-masing untuk menunjukkan sikap telus.

Kata Mujahid, bagi aset hartanah, nilai pemilikannya ialah sebanyak lebih RM2 juta, selain kenderaan bernilai RM251,700.

Selain itu harta yang dimiliki anak kepada bekas yang dipertua agung PAS itu ialah simpanan tunai bernilai RM153,587, deposit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (RM96,000), emas (RM5,000) dan simpanan di Tabung Haji (RM643).

"Aset hartanah itu saya miliki bersama isteri merangkumi dua kondo dan satu rumah masing-masing di Parit Buntar, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sebagai ahli parlimen, katanya, dia memperoleh pendapatan bulanannya sebanyak RM22,000 manakala komitmen pula sebanyak RM17,000 setiap bulan.

"Bermakna baki bulanan yang ada untuk dibelanjakan kepada diri dan keluarga sekitar RM5,000.

"Saya bersyukur kerana dalam melaksanakan tugas di peringkat Parlimen, kita ada peruntukan yang diberi dan telah digunakan sebaiknya dengan memastikan peruntukan itu sampai kepada rakyat," katanya.

Mujahid juga menyatakan untuk Amanah, setiap calon yang bertanding memang dikehendaki membuat pengisytiharan kepada parti.

Katanya semua calon terbabit membuat pengisytiharan tersebut melalui borang yang disediakan.

"Maksudnya di peringkat parti, kami dah ada semua maklumat itu, cuma bila nak isytiharka secara umum (jika dirasakan perlu), itu terpulang," katanya.

Mujahid berdepan empat pencabar pada PRU kali ini, iaitu Imran Mohd Yusof dari BN, Misbahul Munir Masduki (PN) dan Rohijas Md Sharif (Pejuang).